Berita

Lima lagi makmal kesan Covid-19 diwujudkan

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (tengah) bersama kakitangan kesihatan ketika melawat Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru baru-baru ini.
- Diterbit 14 April 2020 12:42 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak lima lagi makmal akan ditambah untuk ujian pengesanan Covid-19 berbanding sebelum ini 43 buah makmal di seluruh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima makmal itu akan dibina di Tawau, Sandakan, Miri, Bintulu dan Kluang.

“Kementerian Kesihatan telah merancang untuk menambah lagi lima makmal ujian pengesanan Covid-19 dalam masa terdekat dan menjadikan keseluruhannya sebanyak 48 makmal.

“Kita mahu mengoptimakan penggunaan makmal. Biasanya, ujian yang dijalankan mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam tetapi jika berlaku penambahan kes mungkin mengambil masa sehingga 48 jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, buat masa ini pihaknya tidak menggalakkan mana-mana individu yang tidak sihat menaiki penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini, kita meningkatkan saringan untuk sesiapa yang hendak menaiki pesawat ke Sabah dan Sarawak.

“Mereka akan disaring terlebih dahulu sebelum menaiki pesawat dan setibanya ke destinasi akan disaring semula,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas