
Lima emas, satu perak, Malaysia dominasi kejohanan dodgeball Asia
PASUKAN dodgeball negara mendominasi Kejohanan Dodgeball Asia 2023, apabila menggondol lima emas dan satu perak di Tampines Sport Hub, Singapura.
Dalam kategori foam ball, Malaysia muncul sebagai negara terbaik dalam kalangan 11 peserta yang mengambil bahagian, selepas meraih emas dalam acara lelaki, wanita dan campuran pada kejohanan yang berlangsung dari 17 Nov hingga 19 Nov lepas.
Pasukan lelaki dan campuran negara mengejutkan Australia masing-masing 10-2 dan 11-6 untuk meraih kejuaraan, manakala pasukan wanita memperoleh kemenangan 6-3 menentang Hong Kong.
Sementara itu dalam kategori fabric ball, kehebatan Malaysia terus terserlah dengan memenangi masing-masing acara berpasukan lelaki dan campuran setelah menewaskan Australia 26-12 dan 32-6.
Bagaimanapun, pasukan negara terlepas hatrik berganda selepas pasukan wanita kalah tipis 14-16 dengan Australia, yang merupakan pasukan jemputan dalam kejohanan Asia itu.
Kejohanan julung kali ini turut disertai Brunei, China, Hong Kong, India, Jepun, Pakistan, Taiwan, Thailand dan tuan rumah Singapura.
Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) Datuk V. Radha Krishnan, memuji pencapaian pasukan kebangsaan itu berkata pemain mempamerkan aksi amat memberangsangkan ketika menentang pasukan terbaik benua selepas tiga bulan menjalani latihan intensif.
“Persaingan amat hebat kerana kebanyakan negara menghantar pasukan pertama mereka kerana sebahagian daripada mereka sedang membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Austria tahun depan. Tetapi pemain kita menunjukkan kelas tersendiri untuk merangkul lima emas dan satu perak.
“Malaysia kekal sebagai kuasa besar bagi Dodgeball di Asia, dan tiga pemain kami turut memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), jadi MAD sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan negara. Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim menghantar mesej kepada saya mengucapkan tahniah atas kejayaan itu,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA