Berita

#LightItBlue di bangunan ikonik, jalan protokol Wilayah Persekutuan

BANGUNAN Perdana Putra dilimpahi lampu biru sebagai simbolik penghargaan jasa petugas barisan hadapan.
- Diterbit 30 April 2020 4:20 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebagai tanda penghargaan dan solidariti kepada petugas barisan hadapan negara, 38 bangunan ikonik dan jalan-jalan protokol di Wilayah Persekutuan dilimpahi lampu biru bermula pukul 10 malam ini sehingga 3 Mei nanti.

Dalam tempoh itu, program Light It Blue atau Limpahan Lampu Biru akan berlangsung bermula pukul 10.30 malam sehingga 1 pagi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pemilihan warna biru adalah kerana ia merupakan warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.

“Tujuan utama program ini adalah untuk mengucapkan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat pasukan barisan hadapan baik di sektor awam, swasta mahupun sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak Covid-19.

“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menzahirkan tanda penghargaan dan solidariti kepada semua petugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, orang ramai juga digalakkan untuk memasang lampu biru di kediaman masing-masing tetapi bukan satu kewajiban memandangkan semua pihak perlu mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain digalakkan berkongsi kreativiti di laman sosial menggunakan #LightItBlueWP dan #LimpahanLampuBiruWP.

Ujar beliau, bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekuatan petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan keselamatan adalah13,126 orang manakala di Labuan pula adalah 1,272 orang.

“Ini termasuk petugas dari Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kesihatan Negeri, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Jumlah ini tidak termasuk petugas perubatan dan bukan perubatan di sektor swasta, para sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar berharap pasukan barisan hadapan negara terus tabah, berdedikasi dan mengekalkan kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat khususnya pesakit.

“Kita perlu menang dalam misi ini dan pasti menang sekiranya semua rakyat bekerjasama untuk kekal berada di rumah dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas