Berita

Lif dibaiki, kerosakan akibat vandalisme – DBKL

KEROSAKAN butang lif menyukarkan penduduk yang berada di aras tinggi untuk turun ke bawah atau naik semula.
- Diterbit 16 Jun 2020 1:58 AM MYT

ISU kerosakan lif di Blok 94 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur adalah disebabkan vandalisme penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, mengikut semakan jabatan, tiada masalah pada lif di blok tersebut sebaliknya hanya butang akses yang tidak berfungsi.

Sehubungan itu, ujar beliau, tindakan membaikinya telah dilakukan dan pihak kontraktor sedang mengambil langkah terbaik bagi mengelakkan kerosakan berulang.

“Berdasarkan laporan daripada Bahagian Kejuruteraan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, hasil semakan terhadap rekod operasi lif di blok tersebut pada 15 Jun, hanya satu unit lif sahaja iaitu lif nombor 3 ditutup berikutan terdapat kerosakan pada komponen pintu lif (car door hanger broken). 

“Lif tersebut ditutup sejak 12 Jun dan punca kerosakan adalah daripada aktiviti vandalisme. Tempahan alat ganti lif yang rosak telah dibuat oleh syarikat penyelenggara untuk tindakan baik pulih.

“Antara lain kerosakan di blok tersebut adalah terhadap butang-butang lif yang dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggunjawab dan jabatan juga dalam tindakan untuk memasang peralatan-peralatan lif yang ‘anti-vandalisme’ bagi mengurangkan kerosakan terhadap peralatan lif tersebut,” katanya kepada Wilayahku hari ini. 

Pada Isnin portal ini melaporkan mengenai aduan penduduk Blok 94 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau mengenai lif yang rosak sejak seminggu lalu. -Oleh NAZWIN NAZRI – WILAYAHKU

BACA JUGA:

Penduduk terseksa, lif rosak lebih seminggu

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas