Berita

Levi RM1.65 juta: Jepak Holdings mohon ketepikan perintah penghakiman ingkar

- Diterbit 22 Februari 2021 1:28 PM MYT

JEPAK Holdings Sdn Bhd memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar diperoleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) supaya syarikat itu membayar lebih RM1.65 juta levi yang tertunggak kepada CIDB melibatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Jepak Holdings memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Hazurah Yusoff & Partners di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Feb lepas antara lain memohon perintah mahkamah bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar bertarikh 13 Jan lepas bagi jumlah RM1,656,250 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dan kos berjumlah RM1,500.

Menerusi afidavit sokongan Datuk Mohd Afrizan Husain, yang dilantik sebagai pengurus kehakiman Jepak Holdings, yang difailkan bersama permohonan itu, Mohd Afrizan berkata pada 16 Jan lepas Jepak Holdings telah mengemukakan permohonan untuk meletakkan syarikat tersebut di bawah pengurus kehakiman untuk melindungi Jepak Holdings daripada tuntutan berterusan yang banyak dibawa oleh para pemiutang.

Mohd Afrizan mendakwa Jepak Holdings juga tidak menerima writ saman dan penyataan tuntutan difailkan CIDB sebaliknya menyedari terdapat tindakan undang-undang terhadap syarikat itu menerusi sebuah portal  bertarikh 15 Jan lepas.

Dakwanya, Jepak Holdings juga tidak berniat dengan sengaja atau cuai untuk tidak memasukkan kehadiran kerana jika mereka menerima writ saman dan penyataan tuntutan itu secara serahan, sudah pasti syarikat itu akan memasukkan pembelaan.

Pada 13 Jan lepas, CIDB diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Jepak Holdings selepas syarikat itu gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan CIDB selaku plaintif.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 2 Dis tahun lepas, CIDB berkata berdasarkan peruntukan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) 1994, plaintif berhak untuk mengenakan levi ke atas mana-mana kontraktor berdaftar sebelum bermula kerja-kerja pembinaan yang mempunyai jumlah kontrak RM500,000 dan ke atas iaitu untuk jumlah suku peratus daripada jumlah harga kontrak tersebut.

Menurut CIDB, pada 10 Nov 2016, Jepak Holdings telah menerima pelantikan untuk menjalankan kerja-kerja kontrak dikenali sebagai “Cadangan Pelaksanaan Menerusi Rundingan Terus Bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak” bernilai RM1.25 bilion.

Projek solar hibrid itu dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengikut peruntukan Seksyen 34(2) Akta LPIPM dan Peraturan 7 dan 10 Peraturan-Peraturan Industri Pembinaan (Pungutan Levi) 1996, plaintif telah mengeluarkan Borang Pemberitahuan Pengenaan Levi bermula dari 12 Jun 2019 bagi jumlah levi yang dikenakan berjumlah RM1,656,250.

Menurut plaintif, notis tuntutan bertarikh 16 Ogos 2019 telah dikeluarkan terhadap defendan bagi menuntut pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak dan wajib dibayar oleh defendan kepada plaintif, namun sehingga kini defendan masih gagal menjelaskan pembayaran levi tersebut.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak berjumlah RM1,656,250 setakat 16 Ogos 2019, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan pada 9 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas