Auto

Leoncino menyengat dengan warna matte

||
- Diterbit 9 Julai 2020 7:01 AM MYT

PERNAH menjadi kegilaan peminat motosikal berkuasa besar suatu ketika dulu, kini Leoncino kembali semula dengan tiga variasi warna baharu iaitu Matt Red, Matt Green dan Matt Grey dengan harga pasaran RM29,288.

Untuk pengetahuan umum, Leoncino merupakan motosikal legenda yang paling diminati peminat jenama Benelli.

Leoncino 500 dibawakan dengan gaya rekabentuk berkonsepkan klasik retro yang digabungkan dengan teknologi moden, sekali gus menjadikannya sebuah motosikal versatil.

Ini kerana ia direka bentuk semula oleh Centirostile Benelli di Itali dan beliau telah menghasilkan elemen tersendiri keperibadian Leoncino.

Hasil inspirasi rekaan asalnya lebih dari seabad yang lalu malah kehadiran ikon Singa Pesaro pada bahagian fender hadapannya, menyerlahkan lagi keaslian reka bentuk yang lahir dari hati sekali gus memberikan pengalaman menunggang motosikal yang mengujakan.

Leoncino 500 ditawarkan dengan enjin empat lejang dwi silinder sebaris 499.6cc, penyejukan cecair pula dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 35kW pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork.

Keupayaan yang ada menjadikannya motosikal jalanan yang pantas dan dilengkapi teknologi moden antaranya lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, panel meter digital, fork hadapan terbalik (USD) dan suspensi belakang monoshock boleh laras.

Brek hadapan cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston dan brek belakang cakera 260 mm dengan angkup satu piston padanya juga dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Leoncino 500 ini dilengkapi dengan tayar Pirelli Angel 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang untuk memberikan prestasi dan keselesaan ketika menunggang.

Berat keseluruhan Leoncino adalah 196 kilogram dan ia dilengkapi dengan tangki minyak 12.7 liter.

Menurut Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, model Leoncino 500 akan mula diedarkan pada pertengahan bulan Julai nanti dan boleh didapati di semua wakil pengedar sah Benelli di seluruh negara khas untuk para pencinta motosikal retro klasik.

“Leoncino didatangkan dengan waranti produk selama 20,000 km atau dua tahun (yang mana terdahulu),” jelasnya.

Sejak 1911, Benelli adalah secara Pure Passion dan merupakan jenama yang berkualiti, berkuasa, berteknologi tinggi dan merupakan legenda dalam segi reka bentuk di Itali.

Selama lebih 100 tahun, motosikal jenama Benelli berjaya mendapat kekaguman yang tinggi dari pelbagai segi perjalanan jalan raya, pengembaraan, perlumbaan, arena sukan motosikal dan sebagainya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas