Selebriti

Lembaran duka industri seni

- Diterbit 21 Februari 2020 2:23 PM MYT

SESUNGGUHNYA ajal dan maut tidak mengenal tempat mahupun masa. Baru sahaja melangkah ke tahun baharu 2020, industri seni tempatan dikejutkan dengan berita pemergian beberapa selebriti popular tanah air.

Mulai daripada pengarah muzik terkenal Lok-U atau nama sebenarnya Faizal Uzir disusuli pelawak yang tidak asing lagi, Abam atau nama penuhnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan daripada kumpulan Bocey dan terbaharu pelakon Ashraf Sinclair.

Pemergian ketiga-tiga insan seni ini secara tiba-tiba bukan sahaja mengejutkan kaum keluarga bahkan seluruh peminat juga meratapi pemergian mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba yang beriman. Amin!

1 Lok-U sesak nafas selepas bersenam

Tanggal 22 Januari lalu, Lok-U, 46, mengalami sesak nafas dan seterusnya rebah di rumahnya yang terletak di Puncak Jalil, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi sejurus pulang dari berjoging.

Semasa hayatnya, arwah merupakan seorang pemuzik yang disegani ramai dan sering mengetuai kumpulan pemuzik iringan pelbagai hiburan realiti televisyen dan menjadi juri undangan profesional.

Menurut anak Allayahyarham Adam Danial, 20, dalam satu kenyataan, bapanya merupakan seorang yang aktif bersenam, sering menjaga pemakanan dan tidak mengalami sebarang penyakit. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Jamariah Yusuf dan empat orang anak berumur dari 13 hingga 20 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor.

2 Abam meninggal dunia dalam tidur

Pelawak popular Abam Bocey, 32, tidak menunjukkan reaksi tindak balas apabila dikejutkan oleh isterinya untuk solat Subuh pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak, Selangor.

Difahamkan Abam yang merupakan anggota kumpulan Bocey mengalami demam panas selama dua hari sebelum meninggal dunia namun enggan mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Pemergiannya ditangisi ramai malah lebih 2,000 orang turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah yang terkenal dengan sifat baik hati dan menyenangkan. Abam bersama Achey dan Fad menganggotai kumpulan Bocey pada tahun 2013 dan mereka pernah merangkul dua gelaran juara Maharaja Lawak Mega (MLM) pada tahun 2016 dan 2017.

Terdahulu, Abam mendirikan rumahtangga dengan Siti Nurhidayah Mohd. Ali pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang berusia sembilan bulan.

3 Ashraf Sinclair diserang sakit jantung

Rabu lalu, pelakon Ashraf Sinclair, 40, meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4 pagi di Hospital MMC, Jakarta, Indonesia. Suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL itu memulakan karier di Malaysia sebagai model dan dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Cincu pada tahun 2005.

Kemudian dia berjaya mencipta nama di Indonesia dan membintangi lebih 10 sinetron popular di negara seberang itu antaranya Catatan Hati Seorang Isteri, Anugerah, Cinta Yang Hilang dan sebagainya.

Paling mengejutkan dunia hiburan tanah air, semasa hayatnya, Ashraf dikenali sebagai seorang yang cukup menjaga kesihatan dan rajin melakukan senaman serta aktif bermain golf. Dilahirkan di London pada 18 September 1979, Allahyarham merupakan abang ipar kepada penyanyi popular Yunalis Zarai atau Yuna. Ashraf berkahwin dengan BCL pada November 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 10.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas