WK2

Lembah Klang menangis

banjir ketika tinjauannya di Taman
- Diterbit 25 Disember 2021 1:00 AM MYT

KEDUDUKAN Malaysia yang terletak dalam kawasan geologi yang stabil menjadikannya hampir ‘bebas bencana’. Meskipun begitu, negara ini kadangkala berdepan dengan bencana seperti kemarau dan banjir yang berlaku disebabkan musim angin monsun yang berlaku secara rutin. Faktor kelalaian manusia turut menjadi penyebab bencana seperti jerebu, tanah runtuh dan lain-lain.

Selain itu, negara ini terletak di luar lingkaran api pasifik dan garisan khatulistiwa yang menjadikan ia berada terlalu jauh daripada laluan taufan utama yang membadai beberapa negara jiran walau sesekali ekor ribut tropika membadai Malaysia.

Perubahan iklim yang mendadak yang sebahagiannya disebabkan banjir monsun telah menyebabkan kerugian besar termasuklah kehilangan nyawa, kerosakan harta benda. Bencana ini sentiasa ‘memusuhi Malaysia’ dari segi sejarah sehingga kini kerana iklim khatulistiwa basah yang dipengaruhi oleh angin monsun bermusim telah meningkatkan kekerapan banjir di negara ini.

Kejadian banjir besar di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang sentiasa berlaku disebabkan pelbagai faktor. Sebagai rekod, kali terakhir
Kuala Lumpur menghadapi banjir kilat adalah pada April lalu dan Kampung Lembah Jaya di Ampang dilanda banjir kilat pada November lalu ekoran kesan pembangunan Lebuhraya SUKE sehingga kawasan tersebut dipenuhi lumpur.

TABURAN HUJAN SETAHUN

MENYOROT kembali situasi cemas Kuala Lumpur pada Sabtu, 18 Disember lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan bahawa faktor taburan hujan selama sebulan turun dalam tempoh 24 jam sehingga menyebabkan banjir besar berlaku.

“Taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter, di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 milimeter, di Jinjang 258 milimeter dan di Jalan Tun Razak 273 milimeter.

“Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan kira-kira 2400 milimeter setahun. Tetapi semalam (Sabtu) jumlah hujannya dalam masa sehari bersamaan lebih sebulan, ini sesuatu di luar jangkaan, perkara ini berlaku lebih 100 tahun sekali,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan SMART JPS di ibu negara pada Ahad. JPS turut mengambil langkah melepaskan air di Empangan Batu dengan bukaan 300 milimeter atau 20 peratus daripada keseluruhan bukaan dan pelepasan air masih lagi dipantau memandangkan paras air kekal pada 104.7 meter.

Selain itu, melalui Facebook rasmi Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memaparkan beberapa kawasan yang dipenuhi sampah yang menjadi antara penyebab saliran tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat sering berlaku.

KETUA Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam turun padang bagi memberi bantuan makanan di Taman Sri Muda

EMPAT PPS TEMPATKAN MANGSA BANJIR

 BANJIR kilat yang melanda ibu negara turut melumpuhkan 11 kawasan iaitu Kampung Periuk, Kampung Bharu, kawasan Lorong Raja Mahadi, Kampung Bharu, kawasan Jalan Melaka berhampiran dengan Bank Muamalat; kawasan Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat berhampiran PWTC, kawasan Sungai Besi berhampiran Stesen LRT Sungai Besi; kawasan Kampung Delima, dan kawasan Jalan Raja Chulan.

Selain itu, turut terjejas adalah kawasan Kampung Pasir; kawasan Lorong Jambu Laut, Jinjang; kawasan Kampung Kassipillay, Sentul; kawasan Kampung Chubadak, Sentul dan kawasan Kampung Kolam Air berhampiran Sekolah Maxwell Jalan Ipoh.

Bagi menampung kira-kira 500 mangsa, sebanyak empat Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS Dewan Sultan Sulaiman bagi pemindahan penduduk Kampung Periuk, Kampung Bharu; Dewan Jalan Hamzah bagi pemindahan penduduk dari kawasan Jalan Raja Mahadi Kampung Bharu; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswati Lembah Pantai bagi pemindahan penduduk Kampung Pasir; dan Dewan Komuniti Sentul bagi pemindahan Kampung Kolam Air dan Kampung Kasipillay turut dibuka untuk kemudahan mangsa banjir.

DBKL turut proaktif dengan menggerakkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi sahabat untuk melancarkan lagi operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir dengan kekuatan seramai 640 anggota terlibat. Walau bagaimanapun, sehingga kini dua buah PPS masih lagi beroperasi iaitu PPS Kelab Sultan Sulaiman yang menempatkan 68 mangsa SJKT Saraswathy dengan 264 mangsa.

Bencana ini turut merekodkan kira-kira 70 kawasan cerun berisiko tinggi berlaku pergerakan tanah. Ketika ini, DBKL telah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk menjalankan penyelidikan dan siasatan terhadap struktur tanah. Dapatan itu akan digunakan DBKL bagi merancang kerja – kerja penyelenggaraan, dan pembaikan supaya kawasan tersebut selamat untuk diduduki.

KWP KERAH AGENSI BANTU OPERASI MENYELAMAT 

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut mengetuai misi menyelamat mangsa banjir di Taman Sri Muda
dan Mukim Labu Lanjut, Sepang dan disertai pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan  (YWP).

Dalam operasi pada Isnin, Shahidan menghantar kira-kira 26 buah bot milik agensi di bawah KWP untuk membantu misi menyelamat di Taman Sri Muda. DBKL telah menghantar bantuan di kawasan Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 Shah Alam pada 19 Disember dan Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada 20 Disember. Sejak 19 Disember sehingga kini, DBKL telah mengerahkan seramai 121 orang anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan DBKL dan Jabatan dalaman DBKL yang lain.

YWP ditugas untuk mengkoordinasi bantuan makanan kepada mangsa banjir dan sukarelawan yang terlibat dengan operasi menyelamat.

SHAHIDAN menyantuni mangsa banjir ketika tinjauannya di Taman Sri Muda, baru-baru ini.

PPj turut menggerakkan sebuah bot utiliti di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dan tiga unit ‘Sailing Optimis’ untuk penghantaran keperluan makanan di Taman Baiduri, Dengkil sejak 18 Disember. Pada 20 Disember pula, ia menggerakkan misi membantu mangsa banjir di sekitar Mukim Labu, Dengkil dan Kampung Olak Lampik, Kuala Langat.

Seramai 50 anggota dan sukarelawan dikerah bagi melaksanakan kerja- kerja pembersihan serta bantuan ke Kampung Labu Lanjut, Sepang, yang bermula Rabu. Beberapa aset PPj turut digunakan iaitu dua buah lori, dua buah lori tangki, 15 kenderaan pacuan empat roda, sebuah jentolak, peralatan pembersihan seperti 15 unit water jet, tiga unit pam air, satu generator set dan empat tong sampah ‘roro’ bagi tujuan tersebut.

Kerja-kerja tertumpu kepada pembersihan kemudahan awam seperti surau An Nur Desa RTB, masjid, balai raya mini serta taman permainan kanak-kanak di taman sekitar Kampung Baru Lanjut iaitu di Taman Dataran Abadi, Kampung Baru Lanjut, Taman Salak Pekerti, Taman Salak Budi, Taman Indah Puteri, Taman Salak Kasturi, Taman Intan Baiduri, Perumahan Haji Malik dan Taman Salak Lestari.

Shahidan menjelaskan, KWP melalui agensi-agensinya atas dasar keprihatinan dan kebersamaan, komited untuk menghulurkan tenaga, bantuan dan sumbangan serta sentiasa meningkatkan bantuan dari semasa ke semasa meskipun negeri tersebut bukan di bawah tanggungjawab kementerian ini. KWP juga terus melakukan pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang keadaan banjir semakin baik dan bantuan bakul makanan akan terus diedarkan kepada penduduk yang terjejas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas