Berita

Lelaki agresif ditahan selepas panjat kereta polis, libas sabit

SUSPEK datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai sehingga berada di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan. Gambar Hiasan
- Diterbit 8 September 2021 10:01 AM MYT

SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian jam 8 pagi tadi, lelaki berumur 61 tahun itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu, bertindak menyembur air ke arahnya.

Beliau berkata suspek datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai sehingga berada di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan.

“Pegawai polis yang bertugas telah bertindak untuk menenangkan suspek serta menghubungi bantuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

“Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat pihak polis di hadapan pagar balai polis tersebut. Polis juga telah meletakkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebelum itu bagi menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta heroin, selain mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Turut dirampas bersama-sama suspek adalah sebilah parang, sebilah sabit panjang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci.

“Berdasarkan maklumat awal juga, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas