Lebuh raya terus diurus dengan baik ketika pandemik, PKP – LLM

Lebuh raya terus diurus dengan baik ketika pandemik, PKP – LLM

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) meneruskan peranannya menguruskan infrastruktur lebuh raya dengan baik sepanjang menghadapi pandemik COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah LLM Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata infrastruktur lebuh raya adalah penting kepada kerajaan dan negara yang turut menjadi laluan utama pengangkutan vaksin COVID-19 sejak 21 Feb lepas.

“Lebuh raya berperanan sebagai laluan kritikan untuk urusan penghantaran barangan perubatan, pergerakan kumpulan perubatan dan perkhidmatan penting serta laluan utama dan terpantas bagi mereka yang masih perlu melakukan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, kami memahami cabaran dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan seperti kakitangan perubatan dan keselamatan dalam menghadapi pandemik ini,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata warga kerja industri lebuh raya seperti pasukan ronda, petugas plaza tol dan penyelenggaraan lebuh raya adalah kakitangan barisan hadapan dalam sektor lebuh raya yang sentiasa berusaha menjaga pelanggan dengan baik.

Sementara itu,beliau berkata Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama LLM telah menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada kira-kira 1,500 petugas barisan hadapan yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS Serdang.

Sumbangan itu disampaikan bersama oleh Pengerusi LLM Datuk Abdul Rasyid Asari dan Yang Dipertua PSKLM Datuk Azman Ismail kepada Pengarah PKRC Dr. Shahabuddin Ibrahim. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )