Berita

Lebih 6.2 tan botol vaksin dilupuskan sehingga 28 Jun – KKM

SEMUA botol vaksin di setiap PPV akan dikumpulkan di stor PPV secara harian kemudian dibawa ke loji rawatan sisa klinikal yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk tujuan pelupusan. Foto- Fail/Astro Awani
- Diterbit 6 Julai 2021 6:35 AM MYT

SEBANYAK 6.25 tan metrik botol vaksin kosong telah dilupuskan sebagai sisa klinikal sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Feb.

Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya kepada Bernama berkata botol yang dilupuskan itu adalah hasil pemberian vaksin COVID-19 kepada 7,593,179 orang sehingga 28 Jun lepas.

“Semua sisa botol vaksin yang dijana di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dikumpulkan di stor PPV secara harian. Botol-botol ini akan dihantar ke hospital untuk proses penimbangan sebelum diangkut keluar mengikut frekuensi pengangkutan sisa klinikal yang telah ditetapkan bagi tujuan pelupusan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, botol-botol vaksin, jarum dan picagari daripada aktiviti pemberian vaksin diklasifikasikan sebagai sisa klinikal di bawah kategori sisa tajam.

Semua  tong sisa tajam di stor PPV yang dihantar ke hospital seterusnya  dibawa untuk tujuan pelupusan ke loji rawatan sisa klinikal yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Menurut kenyataan itu, proses melupuskan sisa vaksin diuruskan oleh syarikat berkelayakan yang dilantik oleh kerajaan dengan mematuhi keperluan dan syarat-syarat terkandung dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ia dipantau oleh KKM dan Jabatan Alam Sekitar.  Terdapat 12 lokasi di seluruh negara bagi pelupusan sisa klinikal ini,” katanya.

Mengenai persediaan untuk menguruskan jumlah botol vaksin yang lebih besar seiring peningkatan kadar vaksinasi bulan ini yang dijangka mencecah 300,000 dos sehari, kenyataan itu berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat yang dilantik untuk menyediakan sumber manusia yang mencukupi dan berkelayakan bagi menguruskan aspek pelupusan.

“KKM percaya syarikat berkenaan akan membuat penambahbaikan sumber manusia sekiranya terdapat keperluan selaras dengan penambahan sisa klinikal,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas