Berita

Lebih 4,000 OKU terima bantuan sekali beri MAIWP sebanyak RM500

MAIWP turut menggalakkan golongan B40 yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP untuk memohon Bantuan Zakat Kecemasan PKP 3.0 yang dibuka bermula hari ini hingga 30 Jun secara dalam talian.
- Diterbit 15 Jun 2021 11:54 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan program Prihatin Kasih Asnaf 3.0 dengan bantuan sekali beri RM500 kepada 4,010 Orang Kurang Upaya (OKU) yang beragama Islam dan bukan Islam.

MAIWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan program membabitkan peruntukan RM2.005 juta itu merupakan antara inisiatif bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Replika cek simbolik penyerahan sumbangan itu disampaikan Pengerusi MAIWP Datuk Dr Daud Bakar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Noordina Haron di Dewan Seminar, Bangunan Perkim di sini hari ini.

MAIWP turut menggalakkan golongan B40 yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP untuk memohon Bantuan Zakat Kecemasan PKP 3.0 yang dibuka bermula hari ini hingga 30 Jun secara dalam talian di ebaitulmal.maiwp.gov.my.

Kenyataan itu menyebut bantuan RM500 juga akan disalurkan secara sekali beri kepada mereka yang layak.

“Mereka yang telah menerima bantuan kecemasan PKP 2.0 pada bulan Disember 2020 tidak perlu lagi membuat permohonan kerana akan diberikan secara automatik sebanyak RM500 yang akan disalurkan bermula hari ini hingga 15 Julai 2021 secara berperingkat,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas