Berita

Lebih 300 ekar tanah lapang diwartakan kawasan hijau Kuala Lumpur

TAMAN TUGU antara lokasi yang dijadikan sebagai'greenlung' ibu negara.
- Diterbit 5 Ogos 2020 1:30 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutan (KWP) sudah mewartakan lebih 300 ekar tanah lapang sebagai kawasan hijau kekal di ibu negara.

Malah, bagi merancakkan kempen penghijauan Kuala Lumpur, kementerian mengambil inisiatif menggalakkan penglibatan pihak swasta secara tanggungjawab korporat (CSR) dalam pembangunan kawasan lapang.

Menjelas mengenai perkara tersebut, kata Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa, kawasan lapang yang diwartakan meliputi Taman Persekutuan Bukit Kiara dan Taman Tugu di samping beberapa kawasan rekreasi yang dibina untuk kesejahteraan penduduk setempat serta warga kota.

“Berkaitan isu perwartaan Taman Persekutuan Bukit Kiara sebagai Taman Awam Berskala Besar, untuk makluman, Taman Persekutuan Bukit Kiara telah diwartakan pada 9 Mac 2020 kepada lot baru iaitu Lot 481701 seluas 274.313 ekar seperti yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat pada 7 Ogos 2019.

“Lot baru ini adalah sebahagian daripada Lot 480589 tetapi tidak meliputi Lot 54265 dan Lot 54268 dan PT 9331 yang dinyatakan dalam soalan Ahli Parlimen Segambut,” jelasnya ketika menjawab balas persoalan yang ditimbulkan dalam Parlimen hari ini.

Menurut Annuar, bagi Taman Tugu pula, geran hak milik tanah masih belum dipindah milik kepada Amanah Warisan Negara (AWAN) kerana kemasukan syarat nyata baharu dalam geran hak milik sedang dilakukan.

Jelasnya, hala tuju pemindahan tanah Taman Tugu kepada AWAN masih dalam perbincangan dengan pihak Khazanah Nasional Berhad.

Dalam pada itu, menjawab tentang persoalan berkenaan kawasan lapang rekreasi, ujarnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat lawatan tapak ke Lot 81242 (No. Hak Milik 52998) dan Lot 81243 (No. Hak Milik 52999) bagi mengkaji kesesuaian tapak tanah tersebut sebagai taman rekreasi awam namun ia terpaksa dibatalkan.

“Pembatalan disebabkan hak milik kedua-dua tapak tanah tersebut didaftar atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tanah balasan bagi projek Penyuraian Trafik KL Metropolis oleh Kementerian Kerja Raya dan syarat kegunaan tanah tersebut ialah kediaman serta pembangunan bercampur.

“Bagaimanapun, kementerian menyediakan dua taman rekreasi di Parlimen Segambut yang berada di bawah seliaan DBKL iaitu Taman Awam Bukit Kiara dan Taman Tasik Manjalara,” jelasnya.

Selain itu, kata Annuar, satu projek pembangunan taman rekreasi di atas Lot 80921, Jalan Dutamas 2, Mukim Batu Kuala Lumpur telah pun diluluskan untuk kerja pembangunan.

“Sementara satu cadangan pembangunan taman komemoratif dan rekreasi di atas Lot 58216 (dahulunya Lot 52928 & Lot 52929) di Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas sedang diproses untuk kelulusan.

“Pembangunan kawasan lapang oleh pihak pemaju berkaitan adalah secara tanggungjawab korporat (CSR). Langkah ini merupakan satu inisiatif pihak kementerian dalam menggalakkan penglibatan pihak swasta bagi membantu kerajaan di dalam kempen penghijauan Kuala Lumpur,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas