Berita

Lebih 2,000 warga banjiri balai Sungai Besi

WARGA setempat terdiri dari pelbagai bangsa turut sama memeriahkan majlis yang berlangsung 3 petang hingga 10 malam.
- Diterbit 3 Jun 2022 1:34 AM MYT

PENGANJURAN program kebajikan dengan penglibatan komuniti setempat merupakan medium terbaik merapatkan lagi hubungan antara pasukan polis dengan masyarakat.

Inisiatif itu, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar, bukan sekadar tepati aspirasi polis memberikan khidmat kepada rakyat malah berpeluang membentuk kerjasama ke arah mencegah jenayah dalam komuniti.

Beliau berkata, kesalinghubungan pasukan polis dengan masyarakat setempat harus sentiasa diperkukuh bagi memupuk serta merealisasi budaya saling melengkapi bagi memelihara keselamatan bersama.

“Jamuan raya Balai Polis Sungai Besi hasil inisiatif Ketua Balai, Inspektor Muhammad Sallehuddin Drahaman, memang terbaik di mana ramai penduduk termasuk pemimpin masyarakatnya turut hadir dan berpeluang beramah mesra bersama polis.

“Pendekatannya tepat kerana masyarakat dan polis sebenarnya tidak boleh berpisah dan itulah motto kita, perkara ini juga kekal relevan sampai bila-bila. Jadi, keadaan ini haruslah kita kekalkan.

” Selain itu, hubungan baik terjalin ini boleh diterjemah dengan kita bersama salurkan maklumat bagi mencegah jenayah kerana itulah perkara penting sekali,” katanya yang ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Komuniti di Balai Polis Sg Besi.

KETUA Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzham (kiri) diiringi oleh Muhammad Sallehuddin meninjau aneka juadah makanan yang disajikan dalam Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Komuniti di Balai Polis Sg Besi, baru-baru ini. 

Jamuan terbuka menghidangkan beraneka juadah itu berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 warga yang tidak melpaskan peluang memeriahkan majlis dianjur khusus untuk komuniti selain membina hubungan positif pasukan polis dengan warga setempat.

Selain menghargai inisiatif anggota serta pegawai polis Balai Sungai Besi, Muhamad Izham turut menyarankan hubungan positif sedia terjalin terus diperkukuhkan dengan berbakti kepada masyarakat sebagai asas menjalan amanah sebagai anggota polis.

“Saya ucap tahniah Ketua Balai Sungai Besi dan Penolong Ketua Balai, Sub Inspektor Mohd Radzi Wazir di atas anjuran jamuan raya ini di mana kita turut raikan anak-anak yatim sebagai memberi kegembiraan buat mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas