Agama

Lawatan ke rumah ibadat keperluan ilmiah

SEKUMPULAN mahasiswa
- Diterbit 7 November 2019 6:11 AM MYT

PERSPEKTIF
Oleh DR. ALWANI GHAZALI
[email protected]

BARU-BARU ini aktiviti rutin yang dijalankan sekumpulan siswazah di sebuah universiti awam telah mengundang kontroversi dalam kalangan netizen.

Saya berterima kasih atas teguran yang cuba disampaikan oleh individu yang prihatin tentang adab dan pelakuan anak Melayu Muslim yang membuat lawatan ke rumah ibadah penganut agama lain. Sebagai salah seorang pensyarah yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus sebegini, saya terpanggil untuk menulis tentang isu ini.

Aktiviti lawatan ke rumah ibadat merupakan aktiviti yang sangat penting bagi kursus kajian atau perbandingan agama. Aktiviti ini memberi peluang untuk para pelajar memperhatikan amalan dan ritual pelbagai penganut agama di rumah ibadat mereka secara langsung.

Ini penting bagi mengelakkan andaian-andaian yang tidak betul terhadap bagaimana acara keagamaan dilaksanakan. Ajaran Islam pula sentiasa menitikberatkan soal kebenaran dalam penyampaian ilmu (amanah ilmiyyah) dengan mendapatkan sumber yang sah. Dengan kata lain, aktiviti lawatan seperti ini membolehkan para pelajar mendapat maklumat melalui pengalaman langsung dari sumber yang tepat.

Di samping itu, melalui kunjungan tersebut, para pelajar berpeluang berinteraksi dengan menemu bual pengunjung rumah ibadat tersebut. Mereka terdiri daripada para pemimpin agama berkenaan, pengurus rumah ibadat dan penganut agama yang mempunyai latar belakang berbeza. Pengalaman langsung dan interaksi ini sangat mustahak bagi membandingkan teori di dalam buku teks dengan keadaan masyarakat yang sebenar.

Rekod pengalaman tersebut dapat dilanjutkan lagi dengan menemu bual pakar-pakar agama berkenaan bagi memahami doktrin yang kurang difahami dari buku teks. Ia semata-mata bagi memperjelaskan pemahaman supaya tidak timbul salah faham akibat memahami suatu yang asing berdasarkan pengalaman sendiri yang sudah tentu berbeza.

Ini penting untuk mengelakkan rekaan atau pembohongan dalam berkongsi fakta supaya gambaran yang diberikan adalah tepat. Dengan cara ini, masyarakat berbilang agama mampu saling hidup bersama secara harmoni.

Dalam konteks kajian agama atau kursus seumpamanya di Malaysia, rata-ratanya anak Melayu Muslim yang mengikuti kursus berkenaan adalah mereka yang menjurus dalam bidang pengajian Islam. Para siswazah ini telah terlebih dahulu diberikan pemahaman tentang pluralisme agama yang sememangnya bertentangan dengan lunas Islam.

Wahyu

Wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah merupakan teras utama bagi kursus ini. Teras utama inilah yang memberi panduan kepada para pelajar dari segi etika khusus sebagai Muslim dan etika umum sebagai pengkaji budaya.

Contohnya, walaupun setiap pengkaji harus menghormati penganut agama dan budaya lain, mereka tetap dilarang untuk melakukan sebarang isyarat, pelakuan, atau gaya dan bahasa badan serta apa sahaja yang boleh dianggap atau ditafsirkan sebagai penyembahan kepada berhala.

Perlu disebutkan bahawa dalam peringkat institusi pengajian tinggi ini, kursus seperti ini dihadiri para pelajar yang telah menjurus ke bidang masing-masing. Mereka adalah kumpulan pelajar yang sedang dibentuk di peringkat awal untuk menjadi para ilmuwan bagi menggantikan para pakar yang ada pada hari ini.

Maka, pengalaman melalui aktiviti lawatan ke rumah ibadat ini sangat mustahak dan tidak harus dicurigai. Malah, karya sarjana Islam lampau dalam perbandingan agama seumpama Ibn Hazm, Al-Shahrastani dan Al-Biruni yang giat mengumpulkan fakta-fakta melalui hubungan langsung dengan penganut agama lain tidak akan sampai kepada kita pada hari ini seandainya medium dan ruang untuk memperkasa keilmuan disempitkan.

Masyarakat tidak perlu bimbang tentang aktiviti rutin yang telah lama dilakukan melalui kursus kajian agama dan jauh sekali bersifat cepat menghukum tanpa usul periksa. Dalam masa sama, tidaklah rugi jika para pengajar yang mengendalikan kursus-kursus ini sentiasa memperingatkan para siswazah untuk sedar pada objektif lawatan tersebut serta menjaga batas-batas sebagai seorang Muslim.

Diharapkan juga para siswazah dan semua yang terlibat dalam kursus seperti ini sentiasa berhati-hati pada masa hadapan.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas