Berita

Larian ‘Sayangi Alam Sekitar’

KHALID (tiga dari kanan) membunyikan hon pelepasan kepada peserta Biodegradable Fun Run 2020 yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.
- Diterbit 26 Januari 2020 3:01 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 warga kota mengambil bahagian dalam acara Biodegradable Fun Run 2020 yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.

Malah seawal pukul 6 pagi lagi, peserta sudah mula berkumpul di lokasi dengan memakai baju-T berwarna hijau yang bertemakan ‘Sayangi Alam Sekitar’.

Larian yang mendapat pe­nyertaan daripada segenap lapisan masyarakat itu secara tidak langsung menunjukkan warga Wilayah Persekutuan menyokong sepenuhnya usaha penggunaan produk biodegradasi.

Acara larian penuh warna-warni sejauh tujuh kilometer itu dimulai dengan persembahan tarian pancaragam DBKL yang bertemakan anti-beg plastik.

Pelepasan peserta disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad sejurus selepas simbolik memotong penyedut minuman plastik di pentas utama.

Dalam pada itu, pelbagai program-program berbentuk Communication, Education and Public Awareness (CEPA) di­laksanakan dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman serta kerjasama orang ramai dan peniaga.

Menurut Khalid, program larian tersebut diadakan sebagai tanda sokongan terhadap penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan.

“Kementerian juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap peniaga yang tidak mematuhi arahan penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan.

“Pada 2019, sebanyak 432 notis amaran dan 1,156 kompaun dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 2,707 premis perniagaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” tegasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Siti Fatimah Daud dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas