Berita

Larangan merokok : Shisha tak terkecuali

SALAH seorang petugas mengeluarkan kompaun dalam satu operasi di Bangsar hari ini. SALAH seorang petugas mengeluarkan kompaun dalam satu operasi di Bangsar hari ini.
- Diterbit 9 Januari 2020 6:19 AM MYT

Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
[email protected]

KUALA LUMPUR – Budaya menghisap shisha yang terkenal di premis makanan Arab dan beberapa restoran tidak terkecuali daripada larangan merokok di kawasan terbabit bermula pada 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Noor Akma Shabudin berkata, ini kerana shisha mengandungi bahan berunsur nikotin yang tertakluk dibawah Peraturan 12.

Sehubungan itu tegasnya, pihak DBKL dan Kementerian Kesihatan akan melaksanakan satu operasi khas bagi mengenal pasti restoran Arab yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Kita akan buat satu operasi bersama Kementerian Kesihatan di kedai makanan Arab. Kalau mereka (pemilik premis) menyediakan shisha atau meletakkan bekas abu rokok, kita akan mengambil tindakan.

“Selain itu, jika mereka membiarkan pelanggan menghisap rokok, kompaun juga akan dikenakan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi bersepadu membabitkan DBKL dan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Sebanyak 30 gerai dan restoran diperiksa dalam operasi di sekitar Bangsar serta satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan merokok dikawasan larangan.

Pesalah dikenakan RM 250 dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Dalam pada itu, Dr. Noor Akma berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi secara berterusan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan selepas ini bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas