Berita

Laporan dakwaan pelajar pelatih tidak dibayar elaun sedang diteliti – PM

- Diterbit 30 Mei 2023 2:00 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau sedang menunggu laporan berkaitan dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.

Beliau berkata laporan mengenai perkara itu pada ketika ini sedang diteliti Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“ (Laporan itu) sudah dibawa. KSM sudah ambil. Sekarang ini sudah diangkat dan saya tunggu laporan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya dakwaan terdapat pelajar pelatih yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan serta syarikat swasta, tidak dibayar elaun.

Anwar turut memaklumkan beliau akan meneliti sebarang cadangan bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk melindungi kebajikan pelajar pelatih.

“Insya-Allah bila kertas (cadangan) itu sampai kepada Kementerian Kewangan dan kepada saya, saya akan ambil tindakan yang wajar,” katanya selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas