Berita

Lagu Melayu klasik banyak mesej, “Ia satu tanggungjawab” – Dayang Nurfaizah

|
- Diterbit 12 Februari 2021 1:35 AM MYT

BUKAN semua penyanyi berani untuk merakamkan lagu-lagu Melayu klasik dan dimuatkan dalam album solo. 

Atas rasa tanggungjawab sebagai anak seni, penyanyi popular Dayang Nurfaizah sudah muncul dengan album Melayu klasik berjudul Belagu yang kesemua lagu telah pun berada di pelantar digital, hari ini.

“Dayang berharap semua peminat Dayang akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu Dayang sampaikan. 

“Dayang mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. 

“Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni,” katanya yang lega apabila ramai pihak memberikan komen positif terhadap album Belagu.

Belagu  disempurnakan dengan lapan trak yang mana lagu Tudung Periuk telah dilancarkan sejak Januari lalu menerusi platform digital. 

Sejak dilancarkan, Tudung Periuk telah mendapat respon positif dari pengkritik muzik, media mahupun peminat muzik. Malah Tudung Periuk berjaya menduduki tangga kedua di carta iTunes Malaysia. 

Lagu-lagu lain yang TURUT dimuatkan dalam album ini adalah Jikalau Abang Merindu, Malam Ku Bermimpi, Tak Seindah Wajah, Tari Tualang Tiga, Dikirin Jangan Dipesan Jangan, Kenang Daku Dalam Doamu dan juga sebuah lagu duet bersama Hael Husaini, Gurindam Jiwa.

Belagu adalah perkataan yang diambil dari dialek Melayu Sarawak yang membawa maksud menyanyi. Belagu itu ringkas namun cukup sempurna menterjemah dan menceritakan tentang alunan suara Dayang dalam melengkapkan album ini. 

Belagu adalah satu penghormatan juga penghargaan kepada lagu-lagu klasik. Diterbit dan disusun muziknya oleh penerbit berpengaruh Aubrey Suwito dan dipersembahkan oleh Dayang dalam alunan tradisional yang tersendiri, Belagu menyajikan karya klasik Melayu dalam persembahan yang lebih segar.

Apa yang menarik, Dayang menghidupkan semula cara orang-orang dulu merakamkan lagu, iaitu ditemani pemuzik-pemuzik secara langsung. Bukannya seperti rakaman dalam studio iaitu menyanyikan beberapa rangkap berulang-ulang hingga semua berpuas hati.

Belagu diterbitkan oleh syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. 

Album ini boleh dinikmati secara digital sekarang di platform muzik maya utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas