Berita

Lagi negeri di Semenanjung mula terima bekalan vaksin COVID-19

- Diterbit 25 Februari 2021 7:36 AM MYT

BEBERAPA negeri lagi di Semenanjung Malaysia mula menerima bekalan vaksin COVID-19, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech pada hari kedua Fasa Pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Kelantan, Perak, Pahang dan Perlis telah menerima bekalan vaksin tersebut semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menerima suntikan vaksin COVID-19, menandakan bermulanya PICK, yang menyasar memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Di KEDAH, Lori DHL yang membawa kumpulan pertama bekalan 2,340 dos vaksin Pfizer-BioNTech dengan diiringi kawalan ketat keselamatan polis selamat tiba kira-kira 12.40 tengah hari tadi di stor integrasi Unit Farmasi Logistik, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi di Klinik Air Hangat.

Terdahulu, lori membawa vaksin tersebut bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Jeti Kuala Perlis, Perlis sebelum menggunakan perkhidmatan feri RORO ke Tanjung Lembung, Langkawi.

Sebaik tiba di stor integrasi Unit Farmasi Logistik, bekalan vaksin tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, Fathiyah Ali dan difahamkan seramai 12 vaksinator akan menerima suntikan pada Ahad ini sebelum suntikan kepada 400 barisan hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi dilakukan.

Di TERENGGANU, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan lebih 16,000 dos yang dibawa sebuah van DHL untuk negeri itu selamat tiba di Unit Farmasi Utama, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 1.30 tengah hari tadi, serta disambut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus dan Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.

Ketika ditemui pemberita, Rohaimi berkata bekalan vaksin tersebut hari ini selamat sampai di ketiga-tiga daerah penyimpanan vaksin iaitu di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu dengan diiringi tiga kenderaan polis dari Subang, Selangor.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi berkata proses pemberian vaksin bagi petugas barisan hadapan sama ada daripada Kementerian Kesihatan (KKM) atau bukan KKM akan bermula pada 2 Mac ini.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Mohd Rosman Abdullah berkata seramai 530 pegawai dan anggotanya akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dalam fasa pertama PICK di negeri itu, dengan tarikh suntikan dan lokasi akan dimaklumkan melalui notifikasi MySejahtera setiap petugas yang terlibat.

Di PULAU PINANG, PICK bagi negeri itu akan bermula pada Ahad ini dengan suntikan pertama dos vaksin COVID-19 akan diberikan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebagai simbolik bermulanya program berkenaan.

Menurut Chow dalam kenyataan hari ini, sasaran adalah meliputi 70 peratus iaitu 1.3 juta rakyat Pulau Pinang bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk.

“Sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa sebanyak 15 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga dewan bagi setiap daerah di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas