Berita

Labuan sarat acara sukan menarik tahun 2023

RITHUAN (depan, dua dari kiri) bersama para peserta Renang Rentas Labuan pada LISC 2023, baru-baru ini.
- Diterbit 21 Mei 2023 4:00 AM MYT

LABUAN bakal menganjurkan pelbagai acara sukan menarik sepanjang tahun 2023 bagi mempromosikan Labuan sebagai salah satu hub sukan di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, ia merupakan antara strategi baharu bagi menyemarakkan industri pelancongan di pulau tersebut.

“Antara acara sukan paling hampir adalah Labuan Team Trial 2023 (18 Jun) Multisport Labuan iaitu Sukan Duathlon dan Triathlon (2 dan 3 September) dan Borneo Art Festival (September).

“Kita juga telah merancang untuk menganjurkan beberapa acara berprestij di sini bagi memacu kembali sektor pelancongan dan ekonomi Labuan seterusnya menarik pelancong yang baharu,” ujar beliau ketika merasmikan Acara Penutup Labuan International Sea Challenge 2023 (LISC 2023) di Kompleks Sukan Antarabangsa di sini, pada Ahad lalu.

Mengulas tentang LISC 2023 pula, beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada peserta dalam dan luar negara.

“Lebih 2,000 peserta dan pengunjung hadir sepanjang lima hari penganjurannya dan telah mencatatkan hampir 1,500 peserta secara keseluruhannya.

“Semua acara yang diadakan turut mendapat sambutan yang baik daripada peserta dan ini menunjukkan bahawa acara ini dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan pada masa akan datang,” kata beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas