Berita

Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pertama capai 80 peratus imuniti kelompok

VAKSINATOR kesihatan memberikan suntikan kepada penerima dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di PPV pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini.
- Diterbit 27 Julai 2021 7:54 AM MYT

LABUAN hari ini (Selasa) telah mencapai sasaran pemberian lengkap dua dos vaksin COVID-19 kepada 80 peratus populasi dewasa dan menjadikan Labuan sebagai negeri dan Wilayah Persekutuan yang pertama mencapai imuniti kelompok bagi mengekang  wabak COVID-19.

Seramai 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa di Labuan telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin COVID-19 itu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, hari ini (Selasa) kita telah mencapai sasaran imuniti kelompok iaitu 80 peratus iaitu sebanyak 54,800 individu dewasa telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Alhamdulillah pada hari ini, kita telah mencapai 80 peratus bagi dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan ini adalah satu berita yang mengembirakan kepada semua pihak khususnya penduduk di Labuan kerana kita telah mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan iaitu pada 30 Julai.

“Pencapaian ini merupakan kejayaan penduduk di pulau ini yang sentiasa peka terhadap kepentingan vaksinasi COVID-19 dan atas kerjasama berpasukan daripada pasukan petugas kesihatan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan sebagai termasuklah pasukan Prihatin Volunteers (PRIVO),” katanya kepada pemberita semasa menyaksikan pemberian suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech kepada individu yang menjadi penerima yang ke 54,800 orang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), pada pagi hari ini.

Sesi pemberian suntikan dos kedua itu turut disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa secara maya dan beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kesemua petugas CITF, para pemimpin dan warga Labuan kerana berjaya mencapai 80 peratus imuniti kelompok sepertimana yang beliau sasarkan.

Dalam pada itu, Rithuan yang juga pengerusi JPBD memaklumkan, berdasarkan laporan CITF Labuan kini telah merekodkan 95 peratus bersamaan dengan 65,521 populasi dewasa telah menerima dos pertama.

Katanya, bagi meneruskan usaha bagi mempercepatkan proses itu pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan memperluaskan lagi program vaksinasi dengan menjalankan vaksinasi rumah ke rumah bagi golongan kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko.

“Meskipun Labuan telah mencapai 80 peratus imuniti kelompok namun kerja-kerja vaksinasi tetap terus dipergiatkan. Kita juga telah melaksanakan vaksinasi secara pandu lalu dan ‘walk-in’ yang diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk yang telah menyaksikan kehadiran penduduk yang ramai daripada 27 kampung,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 24 April lalu Labuan telah mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 susulan serangan varian Delta menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau yang terkesan.

Namun, atas perancangan yang teliti dilaksanakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa telah berjaya menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan negeri pertama mencapai 80 peratus imuniti kelompok. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas