Berita

Labuan Liberty Port ambil langkah ketat elak Covid-19

PIHAK Labuan Liberty Port mengetatkan proses pengendalian di pelabuhan itu setelah seorang pelanggannya dijangkiti Covid-19.
- Diterbit 29 Mac 2020 3:12 PM MYT

LABUAN – Pengendali pelabuhan kontena, Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. melaksanakan 10 langkah bagi melindungi pekerja dan pengguna selepas salah seorang pelanggannya disahkan positif Covid-19 semalam.

Susulan itu, seramai empat pekerja pelabuhan itu menjalani ujian Covid-19 hari ini.

Labuan mencatatkan lima kes jangkitan baharu semalam, menjadikan 10 kes Covid-19 setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd. Alias Abd. Rahman berkata, pihak pengurusan pelabuhan itu telah mengambil langkah proaktif, termasuk melaksanakan aspek penjarakan sosial dalam kalangan kakitangan dan pengguna pelabuhan.

Langkah lain adalah mematuhi sepenuhnya arahan semasa, meningkatkan kawalan jangkitan di antara mereka dan mana-mana individu yang melakukan transaksi di pejabat pelabuhan manakala semua kakitangan diwajibkan menggunakan penutup hidung dan mulut setiap masa.

Selain itu, semua pengguna pelabuhan dan individu yang mempunyai transaksi dalam terminal pelabuhan juga dikehendaki sentiasa memakai penutup hidung dan mulut atau tidak dilayan serta diminta segera beredar dari pelabuhan itu.

Dalam pada itu, katanya, semua pembayaran dibuat secara sistem dalam talian dan penggunaan sarung tangan getah bagi menerima dokumen berkaitan.

Pekerja dan pengguna pelabuhan itu juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman setiap 20-30 minit manakala ejen perkapalan atau wakil mereka juga perlu akur dengan penjarakan sosial dan tidak dibenarkan memasuki bilik di pejabat pelabuhan itu.

Malah menurut pengendali pelabuhan itu, mana-mana ejen atau wakil mereka yang didapati batuk ketika berada dalam premis itu akan diminta segera meninggalkan kawasan berkenaan.

“Kami mahu semua persekitaran tempat kerja bersih serta selamat untuk pekerja dan pelawat berikutan penularan Covid-9,” kata Mohd. Alias. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas