Berita

Labuan FSA sumbang katil, beri keselesaan penghuni pusat kuarantin

FARY (tiga dari kanan) menerima sumbangan katil, tilam dan bantal daripada wakil Labuan FSA untuk kegunaan penghuni pusat kuarantin di Pusat Giat Mara, Labuan hari ini.
- Diterbit 15 April 2020 3:13 PM MYT

LABUAN – Tiada yang lebih menggembirakan buat penghuni pusat kuarantin Giat Mara di pulau ini apabila Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) tampil menyumbang barang kelengkapan bagi membolehkan mereka berada dalam keadaan selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, barangan seperti katil dan bantal itu disumbangkan hasil dana daripada persatuan bank yang berpusat di bawah Labuan FSA.

“Hari ini, kita telah menerima sumbangan daripada Labuan FSA yang merupakan barang kelengkapan seperti 60 buah buah katil, bantal dan tilam untuk kegunaan penghuni yang ditempatkan pusat kuarantin ini (Giat Mara).

“Sehingga semalam, sejumlah 63 individu telah ditempatkan di pusat kuarantin ini dengan melibatkan 30 petugas daripada Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain agensi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, wakil Ketua Pengarah Labuan FSA, Doreen Fadli berkata, pihaknya telah menubuhkan tabung khas untuk membantu Jawatankuasa Bencana Labuan bagi memerangi wabak Covid-19.

“Pihak kami komited membantu masyarakat yang terjejas ekoran penularan wabak ini selain memberikan bantuan dan sumbangan kepada pusat kuarantin di ILP dan Matrikulasi Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas