Berita

Labuan aktifkan bilik operasi cegah Covid-19

FARY pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi-agensi bagi menyelaraskan tindakan pencegahan penularan Covid-19 di Perbadanan Labuan hari ini.
- Diterbit 15 Mac 2020 1:54 PM MYT

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) mewujudkan ‘task force’ di bawah jawatankuasa bencana bagi mencegah penularan wabak Covid-19 susulan beberapa kes yang berlaku di pulau ini.

Jawatankuasa Gerak Kerja Pengurusan Covid 19 diwujudkan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Difahamkan, ia berkuasa kuasa esok dan Labuan merupakan negeri terawal mengaktifkan bilik operasi oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Jawatankuasa Gerak Kerja Pengurusan telah menetapkan lokasi bilik operasi di Ibu Pejabat PDRM Labuan dan beroperasi 24 jam.

Pemeriksaan saringan dari rumah ke rumah juga akan dilakukan bagi membendung penularan wabak itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, jawatan kuasa ini diwujudkan bagi usaha menangani kes penularan Covid 19 di Labuan.

“Kerja-kerja pembersihan akan dilakukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.  Selain itu, sebuah dewan di Kompleks Sukan Labuan juga dicadang dijadikan ‘Pusat Kuarantin Alternatif Covid-19’ bagi membantu sekiranya ada kesesakan pusat isolasi di Hospital Labuan.

“Kami juga akan memberikan bantuan dari segi makanan dan barang keperluan kepada pesakit yang dikuarantin mengikut keperluan. Selain itu, Jabatan Kesihatan akan membuat pemantauan ke rumah pesakit yang dikuarantin,” katanya.

Fary berkata, kawalan laluan pintu masuk akan diketatkan dengan menempatkan kakitangan kesihatan di setiap pintu masuk ke Labuan.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas bersama 20 agensi yang terlibat di Bilik Cemerlang, Perbadanan Labuan.

Fary berkata, program-program kesedaran mengenai Covid 19 juga akan dilaksanakan bersama Jabatan Penerangan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai wabak itu.

“Jawatankuasa ini juga memandang serius penyebaran berita palsu mengenai penularan wabak Covid 19.

“Kami harap masyarakat di Labuan tidak panik mengenai gerak kerja ini kerana untuk mencegah penularan wabak sahaja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas