Berita

KWSP lancar Skim Rawatan Kesuburan

TUANKU AZIZAH berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengeluaran Kesihatan Rawatan Kesuburan KWSP.
- Diterbit 5 Oktober 2020 10:06 AM MYT

BAGI membantu pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan cahaya mata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan skim pengeluaran simpanan baharu mulai 1 September lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Zahir berkata, ahli kini boleh mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 menerusi Pengeluaran Kesihatan Rawatan Kesuburan.

“Pengeluaran itu sekali gus membolehkan mereka membiayai kos rawatan untuk mendapatkan cahaya mata dan mereka boleh membuat pengeluaran seberapa kali yang diinginkan, tertakluk kepada baki simpanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengeluaran Kesihatan KWSP bagi rawatan kesuburan di EPF Learning Campus (ELC), Bangi, hari ini.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan pelancaran skim berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Badri berkata, pengeluaran berkenaan bertujuan membantu pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan cahaya mata.

“Pilihan Pengeluaran Kesihatan bagi Rawatan Kesuburan ini adalah tanda sokongan KWSP kepada pasangan yang ingin mendapatkan rawatan ini tetapi menghadapi kekangan kerana kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran Kesihatan bagi Rawatan Kesuburan adalah lanjutan kepada kemudahan Pengeluaran Kesihatan sedia ada di bawah Akaun 2 simpanan KWSP ahli seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, tahun lalu.

Jelasnya, pengeluaran di bawah rawatan kesuburan itu boleh dibuat untuk permanian beradas (IUI), persenyawaan in-vitro (IVF) dan intracytoplasmic sperm injection (ICSI).

“Ahli boleh membuat permohonan untuk diri sendiri, pasangan atau membuat permohonan bersama,” katanya.

Bagaimanapun katanya, rawatan itu hanya boleh dijalani di institusi perubatan tempatan.

“Ahli yang ingin membuat Pengeluaran Kesihatan – Rawatan Kesuburan boleh mengemukakan permohonan mereka di mana-mana cawangan KWSP berserta dokumen sokongan seperti laporan perubatan, sijil perkahwinan dan bil serta resit untuk rawatan terbabit,” katanya.

Tambah beliau, maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dari laman sesawang
https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals/partial/health#Rawatan_Kesuburan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas