Utama

KWP guna peruntukan untuk kesejahteraan penduduk KL, Putrajaya, Labuan

- Diterbit 8 November 2020 4:11 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan RM956,777,000 yang telah diberikan melalui Belanjawan 2021 dengan tumpuan untuk kesejahteraan bandar dan penduduk di tiga wilayahnya, kata menterinya Tan Sri TPr Annuar Musa.

Wilayah Persekutuan terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri.

“KWP bertanggungjawab melaksananakan dasar dan pembangunan dalam tiga wilayah berasingan yang melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan, sebagai pihak berkuasa tempatan DBKL kali ini banyak program tidak lagi boleh bergantung kepada pendanaan langsung dari kerajaan, perlu membuat pengubahsuaian bagi membolehkan sumber diagihkan kepada keperluan rakyat terutama yang terkesan wabak COVID-19 dan golongan yang berpendapatan rendah.”

Menurut Annuar, pihaknya akan mencari kaedah untuk membangunkan rumah mampu milik dengan kerjasama pihak swasta bagi membolehkan lebih banyak rumah mampu milik dibina.

Dalam sidang media di Kota Bharu pada Sabtu, Annuar berkata, ada juga peruntukan yang memberi manfaat kepada penduduk Wilayah Persekutuan tetapi tidak melalui kementerian tersebut, seperti pembinaan MRT yang menggunakan peruntukan Kementerian Pegangkutan.

“Peruntukan pembangunan komuniti dan Kesejahteraan bandar sebanyak RM148.8 juta tumpuan utama dan penduduk terutamanya yang berpendapatan rendah akan diuruskan sebaik mungkin untuk meningkat kemudahan untuk membantu penambahbaikkan dan penyelengaraan di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PPR/PA) sedia ada.

“Peruntukkan RM405.3 juta untuk River Of Life (ROL), akan diteliti sekali lagi supaya peruntukkan itu dapat diberi keutamaan,”kata Annuar.

Secara keseluruhannya kata Setiausaha Agung BN itu, pengumuman intipati Belanjawan 2021 yang memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM322.5 bilion pada Jumaat membuktikan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

Jelasnya, peruntukan itu juga menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Oleh sebab itu, sangat penting bagi ahli Parlimen untuk mengambil sikap positif dalam membahaskan Belanjawan 2021. Jangan bersikap sengaja mencari salah dengan mensasarkan satu dua perkara sehingga tenggelamkan fokus utama yang perlu diketengahkan dalam belanjawan tersebut.

“Saya percaya mungkin sebahagiannya bersifat reaksi spontan selepas mendengar pembentangan belanjawan dan selepas beberapa hari, mungkin semua orang sudah boleh menghadamkannya,” katanya.

Terdahulu, Annuar hadir pertemuan dengan kepimpinan UMNO negeri di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pihaknya akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan yang telah diberikan kepada kementerian terutamanya untuk kesejahteraan bandar dan penduduk di Kuala Lumpur.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM322.5 bilion pada tahun hadapan adalah terbesar dalam sejarah.

Katanya, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas