Berita

KWP bakal lancar MyBeras, bantu B40

ANNUAR ketika mengadakan sesi LIVE Facebook hari ini.
- Diterbit 15 Januari 2021 4:03 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan melancarkan inisiatif baharu, MyBeras bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan khususnya yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, menerusi inisiatif tersebut, penerima akan diberikan kupon dan ia boleh ditebus di kaunter yang disediakan di KWP.

“Saya akan berikan beras percuma kepada 3,000 orang setiap minggu yang mana, seribu penerima sehari. Jadi, (pemberian) tiga kali seminggu.

“Mereka yang perlu beras percuma boleh berjumpa Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk masing-masing bagi mendapatkan kupon beras,” katanya menerusi LIVE Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Perskutuan memberitahu, pihaknya juga akan mengadakan program menyumbang beras sempena pelaksanaan MyBeras.

Jelas beliau, orang ramai sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan persendirian diseru untuk menghulurkan sumbangan beras.

Tambah beliau, program tersebut akan dilancarkan pada 1 Februari ini sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 (SHWP 2021). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas