Berita

KWP akan bangunkan Kampung Baru dengan grid lebih kecil

Majlis Pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL, Laluan Maroon Line di PPR Batu Muda.
- Diterbit 28 Ogos 2020 2:50 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) sedang mengaturkan pertemuan semula dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bagi membentangkan pendekatan baharu pembangunan kawasan itu dalam masa terdekat.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan Pelan Konsep Pembangunan Kampong Bharu 2019.

“Pelan pembangunan itu berserta tawaran pembelian tanah pada harga RM1,000 sekaki persegi  hanya mendapat persetujuan kira-kira, 61 peratus pemilik tanah di situ.

“Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mesti diberitahu tentang perkara itu  kerana mungkin ada yang ternanti-nanti dan berharap dengan tawaran RM1,000 sekaki persegi itu, ” katanya pada sidang media bersempena majlis pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Menurut Annuar, pihaknya tetap komited untuk membangunkan kawasan tersebut namun ia akan dibangunkan mengikut grid tertentu membabitkan beberapa plot yang lebih kecil.

“Setiap satu plot berukuran tiga hingga empat ekar dan kita telah mengenal pasti tujuh plot yang boleh dibangunkan segera.

“Antara kawasan yang dikenal pasti adalah di padang berdekatan Jalan Syed Mahadi, dan di sebelah Masjid Kampung Baru, kawasan tersebut tak payah tunggu, memang sedia boleh dibangunkan,” katanya.

Jelas Annuar, pkhaknya akan menggunakan konsep dan pendekatan baharu yang tidak melibatkan pihak luar dalam proses pembelian tanah kawasan itu.

“Konsep yang dicadangkan nanti adalah melibatkan pemilik tanah dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain menjadikan kawasan itu sebagai kawasan pembangunan istimewa,” katanya.

Terdahulu, Annuar melancarkan laluan kelapan  bas GoKL yang dikenali sebagai laluan merah manggis yang menghubungkan PPR Kampung Batu Muda ke stesen LRT Sentul.

Laluan sepanjang 15 kilometer itu akan bermula dari SMK Tiara Permai, melalui PPR Kampung Batu Muda dan Klinik Kesihatan Taman Batu Muda, masuk ke Jalan Sentul Pasar menghala ke pusat bandar dan akan melalui stesen LRT Sentul dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul. OLEH AZLAN ZAMBERY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas