Berita

Kumpulan Syarikat Suria KLCC santuni petugas barisan hadapan, anak yatim

PENGURUS Komunikasi Korporat Suria KLCC, Sherina Khairi (kanan) mewakili Andrew Brien menyampaikan sumbangan kepada Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kuldip Kaur.
- Diterbit 2 Jun 2021 7:17 AM MYT

SEBAGAI tanda prihatin terhadap petugas barisan hadapan, Kumpulan Syarikat Suria KLCC berbesar hati menyumbangkan barangan makanan dan penjagaan diri bernilai RM35,000 kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Putrajaya.

Sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan atas dedikasi dan kerja keras dalam mengekang wabak COVID-19 selain bersempena sambutan Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, sumbangan tersebut diharapkan dapat memberikan keceriaan dalam situasi negara yang sedang berusaha menangani pandemik COVID-19 ini.

“Ketika ini Suria KLCC ingin bersama-sama memainkan peranan menjadikan pusat beli-belah kami selamat untuk membeli belah dan menjamu selera.

“Sebagai pemilik pusat beli-belah yang bertanggungjawab, kami sentiasa mahu yang terbaik bagi memastikan kebersihan diutamakan untuk pelanggan sekali gus berganding bahu dengan petugas barisan hadapan dalam membanteras wabak ini,” ujar beliau.

Ketika Ramadan lalu, Suria KLCC menyumbangkan barangan makanan benilai RM20,000 kepada lebih 3,500 petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh untuk memudahkan mereka berbuka puasa.

“Juadah beserta kuih raya tersebut dipesan khas oleh Suria KLCC dari salah sebuah restoren yang beroperasi di pusat beli-belah tersebut iaitu Serai,” ujar beliau lagi.

Tidak ketinggalan pusat beli-belah Alamanda Putrajaya juga turut mengagihkan barangan makanan bernilai RM15,000 beserta bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di Hospital
Putrajaya dan pasukan polis daerah Putrajaya.

Di Pantai Timur pula, pada awal Mei lalu, Mesra Mall meneruskan tradisi menceriakan masyarakat tempatan dengan menyumbangkan duit raya kepada 25 orang anak yatim dari Sekolah Kebangsaan Kemasek bernilai RM250.

“Anak-anak yatim turut menerima barangan makanan sumbangan peniaga-peniaga di pusat beli-belah tersebut seperti Siti Khadijah, Big Apple Donuts & Coffee, Al-Ikhsan, Nasi Kandar Hameed, Muslym Shop, Yong Tau Foo dan Rasa Sayang,” ujar Andrew lagi.

Selain itu, pada 29 April lalu, Mesra Mall juga menyerahkan bubur lambuk kepada pegawai keselamatan dan pasukan bomba dalam daerah Kemaman sempena sambutan Nuzul Quran. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas