Berita

Kumpul duit niaga tampung kos pengajian

NOOR AZIZAH (kanan) banyak menerima anugerah keusahawanan.
- Diterbit 19 November 2021 3:53 AM MYT

TEKAD mahu mencari duit perbelanjaan sendiri bagi menampung kos pengajian ijazahnya, penerima Anugerah Kepimpinan Keusahawanan, Anugerah Tokoh Siswa 2020 ini memanfaatkan masa lapangnya dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Noor Azizah Mat Rozlan, 27, atau lebih mesra disapa Azizah berkata dia nekad untuk tidak melakukan sebarang pinjaman malah memilih untuk berusaha menampung pengajiannya sendiri.

“Awal-awal saya menjejakkan kaki ke universiti, saya sudah tekad untuk mencari duit sendiri dan tidak akan mengambil sebarang pinjaman termasuk PTPTN.

“Untuk menampung pengajian itu, pada tahun pertama saya membuat dropship, kemudian diteruskan dengan menjual pelbagai jenis makanan antaranya Popcorn Toppedo Caramel, kek dan laksa.

“Selain itu, saya juga pernah bekerja sebagai pelayan restoran dan menjadi tukang jahit baju semasa cuti semester,” kongsinya yang  amat meminati bidang keusahawanan sejak kecil lagi.

Katanya, dia turut menggunakan duit elaun daripada pasukan seragam yang diikutinya di universiti iaitu PALAPES Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dijadikan modal berniaga dan
menampung perbelanjaan harian.

Menurut Azizah, minat yang mendalam terhadap bidang ini mendorong dirinya menjalankan program keusahawanan semasa
di universiti sehingga mendapat pengiktirafan dari Unisza dan kebangsaan.

“Program terbesar yang pernah saya anjurkan sehingga menerima Unisza Best Entreprenuer Award pada tahun 2019 di ialah program Karnival Keusahawanan Kokurikulum, karnival semasa Majlis Konvokesyen dan paling diingati adalah ketika saya menjadi pengarah bagi Entreprenuership Development Program 2.0 : Thailand Experience,” jelas anak sulung daripada tiga beradik ini.

Berkongsi tentang perancangannya dalam bidang keusahawanan, Noor Azizah memberitahu dia sedang berusaha untuk mengembangkan bisnes kuih-muih ibunya yang berkonsepkan frozen.

“Saya akan membuat permohonan untuk menubuhkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan saya juga sedang mencuba untuk mendapatkan bantuan daripada RISDA bagi memperoleh sumbangan mesin dan peralatan membuat kuih.

“Sementara menunggu, saya akan menjual kuih-muih itu secara
atas talian dan akan dibantu oleh suami yang juga turut mempunyai
latar belakang bisnes,” katanya yang baru sahaja melangsungkan
perkahwinan.

Dalam pada itu, Azizah turut menzahirkan penghargaan buat pihak pengurusan universiti HEPA dan Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) terutama En Salman Lambak penyelaras ATS dan pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, rakan-rakan seperjuangan Perwakilan Pelajar Beruniform UniSZA (PPBU) dan PALAPES Udara UniSZA. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas