WK2

Kuala Lumpur sedia sambut tetamu

ORANG ramai yang hadir pada kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran DBKL baru-baru ini
- Diterbit 30 Januari 2020 8:54 AM MYT

TAHUN ke-46, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pastinya ibu negara ini telah melalui perubahan yang besar dan mencabar disebabkan pertambahan warga kota akibat penghijrahan orang desa serta pembangunan rancak selain kemajuan sistem pengangkutan.

Hari ini, Kuala Lumpur yang mesra digelar nadi pembangunan negara tidak pernah lelap dan sentiasa dihujani hiruk-pikuk warga kota yang menjadikannya rancak walaupun di malam hari.

Fokus kepada memberi keselesaan kepada warganya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyahut seruan kerajaan dalam merencanakan pembangunan. Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020, pelbagai aktiviti disediakan sekali gus menjadikan Februari sebagai bulan festival.

Bagi menghurai lanjut tentang kesiapsiagaan SHWP 2020, ikuti temubual wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI dan AINI MAWAWI bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, DATUK NOR HISHAM AHMAD DAHLAN.

NOR HISHAM

Boleh ceritakan tentang aktiviti yang akan diadakan sepanjang SHWP 2020 ini?
NOR HISHAM: Pelbagai program diadakan sepanjang SHWP 2020 yang berlangsung sepanjang Februari ini malah dua acara telah diadakan pada 19 dan 31 Januari lalu. Acara pembukaan adalah Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan peringkat Kuala Lumpur serta Biodegradble Fun Run 2020 di Dataran DBKL manakala aktiviti kedua pula adalah Khutbah Khas SHWP 2020 di semua masjid dan surau Jumaat Wilayah Persekutuan.

Pada Februari pula, terdapat sembilan acara. Hari pertama sambutan diadakan Festival SHWP 2020 di Dataran Merdeka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang selama dua hari iaitu 1 dan 2 Februari. Pada malam 2 Februari juga diadakan program Prima Dakwah Wilayahku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bermula pukul 7 malam. Acara seterusnya adalah Larian Wilayahku 2020 (9 Februari), Run For Wilayah (16 Februari) dan Jejak Warisan@Pintasan Saloma (29 Februari).

Terdapat juga Program Ilmiah SHWP 2020 (14 Februari), Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Inisiatif Wilayah Peduli (16 Februari), Karnival Cukai Petak (17-19 Februari) serta Perasmian Taman Tasik Titiwangsa Fasa 2 (20 Februari).

Bagaimanakah persiapan serta kesiapsiagaan warga DBKL sendiri?
NOR HISHAM: Dari hari pertama SHWP 2020 lagi, kita adakan pelbagai program menarik kerana DBKL menyahut cabaran Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang
mahukan pelbagai program bersama rakyat diadakan dalam tempoh satu minggu. Kena buat perarakan dan pencahayaan termasuk bunga api.

Seterusnya pada 3 Februari, kita kena pastikan Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 siap sedia kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akan mengadakan rakaman video untuk mempromosikan program tersebut.

Kita bergerak ke arah itu dan akan memastikan pada tahun ini, Kuala Lumpur menjadi ibu negara yang ‘big bang’.

Adakah Kuala Lumpur bersedia menerima kemasukan tetamu pada SHWP 2020 nanti?
NOR HISHAM: DBKL mempersiapkan 100 peratus penguat kuasa yang akan ditugaskan mengawal selia ibu kota. Kita juga sudah rekrut 50 penguat kuasa trafik yang akan keluar pada Mac ini.

Mereka hanya akan mengawal trafik di setiap persimpangan ‘hot spot’ seperti Jalan Brickfields, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Bangsar, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Yap Kuan Seng, Jalan Saloma dan Jalan Sultan Ismail melibatkan tiga waktu (pukul 7 pagi, tengah hari dan petang).

Tambahan pula, selepas SHWP 2020, pelbagai acara besar peringkat antarabangsa akan berlangsung di Kuala Lumpur seperti Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia (KLWBC) 2020, Tahun
Melawat Malaysia 2020 dan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Kita juga memastikan landskap bandar Kuala Lumpur tampil dengan keunikan tersendiri menerusi tender bunga-bungaan annual seperti Jalan Protokol akan diserikan dengan hiasan
bunga.

“Bagi Panggung Bandaraya pula, pelbagai persembahan akan disediakan bermula Mei ini antaranya pentas bangsawan, teater dan opera Cina selain pertunjukkan nyanyian buskers di lokasi tumpuan ibu negara.”

Boleh perincikan program yang akan diadakan selepas SHWP 2020?
NOR HISHAM: Program-program berbentuk kesenian dan kebudayaan juga akan diperbanyakkan dengan 65 lokasi projek perumahan rakyat (PPR) terpilih akan dimeriahkan dengan persembahan orkestra DBKL.

Bagi Panggung Bandaraya pula, pelbagai persembahan akan disediakan bermula Mei ini antaranya pentas bangsawan, teater dan opera Cina selain pertunjukkan nyanyian buskers di lokasi tumpuan ibu negara.

Kesemua ini menandakan kesiapsiagaan DBKL dalam menguruskan acara besar-besaran di Kuala Lumpur sekali gus menarik pelancong asing.

Bagaimana dengan keadaan semasa ibu negara yang sering dilanda banjir kilat dan kesesakan?
NOR HISHAM: Peningkatan infrastruktur dilakukan bagi memastikan jalan raya kurang sesak. Antara langkah yang diambil adalah menjadikan beberapa laluan utama sebagai jalan
sehala seperti di Jalan Maharajalela dan Jalan Kinabalu.

Beberapa laluan lain seperti di Jalan Bangsar, Jalan Brickfields dan susur Jalan Ampang dari Lebuh Raya AKLEH. Pada masa ini kajian sedang dilakukan dan selepas tiga bulan ia mungkin dilaksanakan. Walaupun tetap sesak tetapi kita dapat kawal kadar kesesakan itu.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas