Berita

Kuala Lumpur OCBC Cycle tarik penyertaan daripada 20 negara

OCBC CYCLE
KHALID (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran Kuala Lumpur OCBC Cycle 2019 di Menara DBKL disini hari ini.
- Diterbit 5 Ogos 2019 11:45 PM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Syarikat perbankan OCBC Bank akan menganjurkan program kayuhan santai Kuala Lumpur OCBC City Ride yang dijadualkan berlangsung pada 24 November 2019 ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ong Eng Bin berkata, program yang memasuki tahun keenam penganjuran itu mempunyai dua kategori dan terbuka kepada mana-mana individu atau pasukan untuk menyertai.

“Mana-mana individu yang berminat boleh menyertai acara berbasikal sejauh 21 kilometer (km) atau kategori 42 km.

“Sehingga kini kami telah mendapat lebih daripada 1,500 peserta termasuk dari 20 buah negara antaranya Amerika Syarikat, Britain dan Australia,” katanya pada Majlis Perasmian di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, kementeriannya menyokong penuh penganjuran untuk aktiviti berbasikal tersebut yang turut diadakan bersempena dengan KL Car Free Morning.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada OCBC Bank sekali lagi kerana memainkan peranan penting untuk terus menjadikan komuniti berbasikal di bandar raya ini berkembang maju di sini.

“Ia adalah baik untuk mempunyai platform untuk peminat berbasikal untuk mengambil bahagian dalam sukan yang sihat seperti ini dan mendorong diri mereka sedikit lebih mencabar untuk berbasikal tengah-tengah bandar,” katanya.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik, Pengarah Jabatan Kebudayaan,
Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas