Berita

KPWKM terima tajaan biasiswa RM2.3 juta Universiti Limkokwing untuk pelajar memerlukan

- Diterbit 10 Februari 2021 11:40 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima penajaan biasiswa penuh berjumlah RM2.3 juta untuk pelajar kumpulan sasar kementerian dan sumbangan RM100,000 untuk program Kembara Prihatin Negara (KPN) daripada Universiti Limkokwing.

Cek penajaan dan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Naib Presiden Kanan universiti itu Datuk Raja Aznil Raja Hisham kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, di sini hari ini.

Rina dalam kenyataan bersempena majlis itu berkata biasiswa penuh tersebut akan diberikan kepada 30 orang pelajar yang akan mengikuti pengajian di Universiti Limkokwing.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi baharu yang berintelektual dan dapat memenuhi aspirasi negara pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai KPN, Rina berkata program yang dilaksanakan sejak 1 Nov 2020 itu bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui sumbangan barangan keperluan asas.

Syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan juga boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui akaun Alliance Islamic Bank (160140010004801) atau Maybank Islamic (568621012284) dengan setiap sumbangan tunai akan diberikan resit pengecualiaan cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas