Berita

KPT pelawa pemain industri bekerjasama dengan IPT rangka program TVET terbaik

- Diterbit 30 Mei 2023 1:15 PM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menjemput semua pemain industri untuk bekerjasama dengan institut pengajian tinggi (IPT), untuk merangka program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang terbaik pada masa akan datang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan itu merupakan platform terbaik untuk pemain industri mengisi pasaran kerja, kerana bakat yang terbaik boleh dicari menerusi kerjasama seumpama itu.

“Datang dan bawalah segala kemahiran, kepakaran, pengalaman dan teknologi yang kalian miliki. Kongsikan dengan kami melalui IPT-IPT kita di seluruh negara.

“Perkara ini penting, kerana tidak ada industri yang akan selamat dan mampu bertahan tanpa bekalan bakat yang stabil dan mencukupi, selain IPT dan penyedia latihan kita mempunyai kelebihan, ilmu dan penyelidikan yang berguna, untuk dimanfaatkan oleh pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari TVET 2023 Yayasan Sime Darby (YSD), hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Jeffri Salim Davidson.

Sementara itu, Jeffri berkata sejak penubuhan YSD pada 1982, mereka telah menyediakan biasiswa bernilai lebih RM360 juta kepada lebih 5,400 pelajar dan lebih RM37 juta telah berikan bagi menyokong pendidikan TVET di Malaysia, melalui Program Dermasiswa Pengayaan Kemahiran YSD.

Beliau berkata, YSD menawarkan dermasiswa ini melalui kerjasama TVET dengan pelbagai rakan kongsi dan melalui kerjasama itu, para sarjananya memperoleh kemahiran vokasional dan teknikal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya berasa bangga untuk menyatakan bahawa 100 peratus penerima dermasiswa TVET YSD telah memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian dan ramai daripada mereka diambil bekerja dalam syarikat Sime Darby, yang merupakan satu penyataan mengenai kualiti kemahiran mereka,” katanya.

YSD dalam satu kenyataan berhubung acara itu hari ini menyatakan bahawa mereka akan memberikan tambahan RM29.7 juta dari 2023 hingga 2028 di bawah Program Dermasiswa TVET.

Kenyataan itu memaklumkan sejak 2007, YSD telah memberikan biasiswa RM37.4 juta, memacu 1,412 individu berbakat dalam perjalanan pendidikan vokasional mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas