Berita

KPT anggar 30 peratus pelajar IPT berkeperluan kembali ke kampus 1 Mac

- Diterbit 1 Februari 2021 9:17 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menganggarkan 30 peratus daripada keseluruhan 1.1 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tergolong dalam enam kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus masing-masing mulai 1 Mac ini bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin berkata kemasukan pelajar berkenaan adalah secara berfasa dan IPT berhak mengurangkan jumlah pelajar berdasarkan situasi semasa dan penilaian risiko.

“Sebagai contoh, sebuah universiti boleh membawa masuk 5,000 pelajar berkeperluan tetapi jika kes COVID-19 tinggi (pada 1 Mac) mungkin jumlah pelajar yang akan pulang ke kampus kurang daripada itu iaitu 100 atau 50 orang sahaja,” katanya ketika ditemu bual dalam Buletin Bernama yang disiarkan saluran Bernama TV, hari ini.

Semalam, KPT memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan enam kategori pelajar IPT yang berkeperluan untuk pulang ke kampus mulai 1 Mac bagi sesi PdP secara hibrid  merangkumi pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Selain itu, ia turut melibatkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk PdP dalam talian; pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; pelajar orang kurang upaya (OKU); pelajar peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional serta pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Mohd Cairul Iqbal berkata KPT amat prihatin tentang kebajikan serta keselamatan pelajar dan pada masa sama, kementerian itu turut mengambil kira kualiti graduan yang akan dihasilkan memandangkan sudah dua semester berturut-turut PdP dalam talian dilaksanakan.

Mengenai perjalanan rentas negeri dan daerah para pelajar, beliau berkata IPT akan mengenal pasti pelajar yang akan kembali ke kampus dan mengeluarkan surat bagi membolehkan mereka mendapat surat kebenaran daripada polis bagi perjalanan kembali ke kampus masing-masing.

Beliau turut meminta pelajar IPT untuk sentiasa mengikuti perkembangan di semua platform media sosial KPT bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkara itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas