Utama

KPDNHEP siasat punca kenaikan harga ayam

AYAM proses. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Jun 2020 9:11 AM MYT

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat punca kenaikan mendadak harga ayam standard sejak beberapa hari lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Operasi KPDNHEP, Low Swee Hon berkata, kementerian itu telah mengadakan pertemuan dengan penternak ayam dan pihak persekutuan penternak ayam di Putrajaya semalam bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.

“Memang dikatakan ada peningkatan harga di peringkat ladang dan kementerian sedang mengesan sama ada peningkatan berlaku di peringkat pihak penternak, pemborong atau peruncit.

“Kita berharap dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang berlaku di kebanyakan pasar seperti yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga barangan di Pasar Sungai Besi di sini bersama pegawai KPDNHEP Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata KPDNHEP akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat harga barangan serta justifikasi sekiranya terdapat pengambilan keuntungan berlebihan.

Low turut melakukan pemantauan di sebuah premis perkhidmatan gunting rambut di Desa Petaling dan berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata KPDNHEP telah memeriksa lebih 500 premis dandanan dan gunting rambut di seluruh negara dari 10 hingga 17 Jun lepas menerusi OPS CATUT 7.0 (Dandanan dan Gunting Rambut).

“Tiada sebarang tindakan diambil setakat ini, bagaimanapun untuk setiap premis atau tinjauan yang dilakukan, pegawai kami akan keluarkan notis untuk mereka mengemukakan maklumat harga (caj upah) sebelum dan selepas beroperasi (selepas 10 Jun) serta kos penyediaan perkhidmatan.

“Caj tambahan yang dibenarkan dikenakan kepada pelanggan hanya merujuk kepada dua item iaitu alas gunting rambut pakai buang serta sarung tangan sahaja dan peniaga perlu memastikan caj itu berpatutan dengan kos belian bagi penggunaan setiap barangan tersebut,” katanya.

Kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan kembali beroperasi mulai 10 Jun dengan SOP yang ketat selepas sektor itu ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas