KPDNHEP lakukan rampasan RM26 juta
PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai di Alor Setar semalam. Gambar hiasan

KPDNHEP lakukan rampasan RM26 juta

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan rampasan  bernilai RM26 juta atas pelbagai kesalahan premis perniagaan sejak 18 Mei lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu termasuk kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 menerusi 91,403 pemeriksaan di seluruh negara.

Kata beliau, premis yang diperiksa merangkumi kedai runcit, pasar raya, kedai makan,kedai kek, kedai pakaian dan bengkel kenderaan.

“Sebanyak 627 kes telah dibuka dengan 470 kompaun dikeluarkan berjumlah RM375,850.

“KPDNHEP memastikan setiap perniagaan dilakukan secara beretika, tidak ambil kesempatan naikkan harga barang dan perkhidmatan mengelirukan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menambah, pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,365 pemeriksaan khas semalam berhubung pematuhan SOP PKPB.

“Hasilnya, pemeriksaan KPDNHEP mendapati 1,202 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala, sebanyak 160 premis diberi nasihat dan tiga premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP,” jelasnya. – WILAYAHKU

CATEGORIES