Berita

KPDNHEP bongkar penyelewengan jualan diesel

- Diterbit 11 Februari 2021 3:46 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun berjaya membongkar aktiviti penyelewengan penjualan diesel oleh sebuah stesen minyak dalam satu serbuan, semalam.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata dalam serbuan pada 1.40 tengah hari itu, pihaknya telah merampas 615 liter minyak diesel bernilai RM1,297 yang disyaki dijual kepada individu yang tidak dibenarkan.

“Semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an dilihat sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, pasukan serbuan telah merampas 615 liter minyak diesel, tiga tong dram dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut dengan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM72,047.

Saharuddin berkata tindakan tersebut diambil susulan aduan orang awam berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stesen minyak berkenaan dan pihaknya telah melakukan risikan selama tiga hari sebelum itu.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan berjadual (diesel) kepada orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

Tambahnya, KPDNHEP sangat mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan golongan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Aduan boleh dibuat menerusi portal [email protected], talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, e-mel [email protected], aplikasi telefon pintar EzADU, Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) 03-8882 6245/6088, WhatsApp ke 019-279 4317, melalui media sosial Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP Terengganu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas