Berita

KPDNHEP akan kemuka permohonan bantu pengusaha katering

- Diterbit 26 Februari 2021 9:09 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat untuk memberikan kebenaran supaya majlis perkahwinan dalam skala kecil dapat diadakan bagi membantu pengusaha katering kembali beroperasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya banyak menerima permohonan dan keluhan daripada pengusaha katering kerana tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Sehingga kini pengusaha katering terutama yang banyak mengendalikan majlis perkahwinan, jamuan awam serta keraian terjejas pendapatan dan terpaksa menutup perniagaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Walaupun majlis keraian sosial dan keramaian tidak dapat diadakan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 berjaya, kementerian melihat masih ada ruang untuk pengusaha katering dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Rosol, antara lain adalah kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti serendah 250 orang di lokasi awam seperti dewan yang sesuai yang dapat memastikan aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

“Ia termasuk soal penjarakan sosial, pemakaian topeng pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran kehadiran ke majlis dan lain-lain ketetapan terkini oleh MKN tidak diabaikan.

“Usaha ini dapat membuka peluang perniagaan kepada pengusaha katering untuk kembali menjana pendapatan dan kami melihat kebenaran mengadakan majlis perkahwinan di rumah masih memerlukan kajian terperinci berikutan kesukaran untuk memastikan perjalanan majlis mematuhi pelaksanaan SOP yang ketat,” katanya.

Menurut Rosol, dianggarkan lebih 20,000 pengusaha katering di seluruh negara dan sebahagian besar daripadanya terkesan kerana terpaksa berdepan dengan pembatalan majlis perkahwinan dan keraian oleh pelanggan.

“Sekiranya MKN memberikan kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti 250 orang di dewan yang sesuai, ia dapat membantu pengusaha katering untuk kembali bernafas.

“Selain itu, ia dapat mengelakkan masalah kehilangan pekerjaan serta kerugian dan penutupan perniagaan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menerima jaminan daripada pengusaha katering untuk memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi SOP yang ketat bagi mengelakkan risiko penularan COVID-19.

“Ia sekaligus menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan pandemik ini sering dengan pemulihan ekonomi dan sektor perniagaan di negara ini,” katanya.– AZLAN ZAMBRY –  WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas