Berita

Korea Selatan catat pendapatan pelancongan terendah dalam tempoh 17 tahun

Pedestrians holding umbrellas cross a road in central Seoul on June 2, 2020. - South Korea's economic contraction will worsen in the current quarter, the central bank forecast on June 2, as the COVID-19 coronavirus outbreak hits consumer demand and economic activity even harder. (Photo by Jung Yeon-je / AFP)
- Diterbit 7 September 2020 8:00 AM MYT

KOREA Selatan mencatatkan pendapatan pelancongan terendah dalam tempoh 17 tahun untuk suku kedua tahun ini, berikutan pandemik COVID-19, berdasarkan data dikeluarkan kerajaan pada Isnin.

Bagi tempoh April-Jun, negara mencatat pendapatan pelancongan US$1.19 bilion, merosot 78.6 peratus daripada lebih US$5.57 bilion pada tempoh sama tahun lepas, agensi berita Yonhap memetik data Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO).

Dibandingkan dengan tempoh tiga bulan sebelumnya, jumlah itu menurun 65.5 peratus daripada US$3.46 bilion.

Ia jumlah suku tahunan terendah sejak 2003, ketika itu pendapatan pelancongan Korea Selatan mencatat US$1.11 bilion.

Penurunan mendadak terjadi ketika pandemik COVID-19 yang mengganggu industri pelancongan global, kerana kebanyakan negara menutup sempadan dan mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas ketibaan dari luar negara.

Jumlah pelawat asing pada suku kedua 2020 mencapai 970,000 orang, berkurangan daripada 4.6 juta orang pada tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, perbelanjaan pelancong Korea Selatan sebanyak US$1.7 bilion pada suku kedua, turun 76.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kesannya, defisit akaun pelancongan negara itu menurun kepada US$510 juta untuk tempoh April-Jun, kemerosotan mendadak daripada US$1.64 bilion yang dikira setahun lalu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas