Berita

Kontak rapat, kes sporadik antara faktor kes COVID-19 tinggi di WP

Gambar: ASWADI ALIAS/ Berita Harian
- Diterbit 16 Julai 2021 7:12 AM MYT

SARINGAN kontak rapat dan kes sporadik menjadi antara tiga faktor penyumbang peningkatan kes positif COVID-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, satu lagi adalah saringan besar-besaran di di lokaliti perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dapatan itu berdasarkan data oleh Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) pada 15 Julai.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa, 13 peratus kes positif adalah daripada saringan di lokaliti PKPD sama ada aktif atau PKPD yang baru sahaja ditamatkan, 54 peratus kes positif pula adalah berpunca daripada jangkitan kontak rapat isi rumah manakala satu pertiga (28.5 peratus) adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitannya.

“Sebahagian besar kes adalah di kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan iaitu sebanyak 88 peratus (kurang daripada 0.5 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, kata Annuar, Jumlah kes covid-19 setakat semalam mencatatkan penurunan daripada 294 kes kepada 205 pada 14 Julai 2021.

Katanya, CCMC-WP akan terus memantau situasi ini serta memperakukan langkah tertentu terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus merancakkan program vaksinasi secara besar-besaran agar Wilayah Persekutuan dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.

“Ini juga ke arah melaksanakan strategi baru pasca 80 peratus vaksinasi di WP dengan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi boleh dibuka.

“Secara keseluruhan, keadaan di Wilayah Persekutuan adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi di Wilayah Persekutuan,” jelasnya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

—————————————————————–

BERIKUT DISIARKAN KENYATAAN PENUH CCMC-WP 15 JULAI 2021

PERINCIAN mengenai kes positif Covid-19 berdasarkan data yang dikumpul oleh Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) semalam, 15 Julai 2021. Secara umum boleh dirumuskan bahawa jumlah kes yang tinggi adalah susulan kepada ujian saringan terhadap kontak rapat iaitu 54%. Kes akibat jangkitan secara sporadik adalah 28.5%.

Manakala kes susulan saringan yang dibuat di kawasan PKPD bersasar adalah 13% daripada jumlah kes keseluruhan dan jumlah kes juga menurun daripada 294 kes pada 14 Julai kepada 205 kes. Kes di tapak binaan hanya 3, iaitu kurang daripada 0.5% daripada keseluruhan kes.

Sebahagian besar kes, 88% adalah di kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan (kurang daripada 0.5%)

Perincian Kes:

Jumlah kes: 1,552 (14 Julai -1,598)
– 1,359 Warganegara (88%)
– 193 Bukan warganegara (12%)

a. Tapak Binaan (1 kluster): 3 kes (14 Julai – 22 kes) (kurang daripada 0.5%)

b. PKPD (7 lokaliti) dan Kluster Komuniti (4 lokaliti): 205 kes (14 Julai – 294 kes) (13%)

1. PPR Kg Baru Air Panas: 20 kes
2. PA Desa Rejang: 8 kes
3. Kg Padang Balang: 6 kes
4. PPR Batu Muda: 6 kes
5. Kg Segambut Dalam: 3 kes
6. PPR Seri Semarak: 4 kes
7. PPR Kerinchi: 79 kes
8. PPR Pantai Ria: 1 kes
9. Taman Bukit Angkasa: 16 kes
10. Apartment Sri Rakyat: 3 kes
11. Flat Sri Sabah: 59 kes

c. Lain-lain kluster: 61 kes (4%)

d. Kontak rapat: 836 kes (54%)

e. Sporadik: 442 kes (28.5%)

f. Import A: 5 kes (< 0.5%)

Antara faktor yang menyumbang kepada kes yang tinggi adalah:

1. 13% kes positif adalah daripada saringan di lokaliti PKPD sama ada aktif atau PKPD yang baru sahaja ditamatkan

2. Separuh (54%) kes positif adalah jangkitan daripada kontak rapat yang kebanyakannya dalam isi rumah. Terdapat jangkitan daripada kontak rapat di tempat kerja seperti di pejabat.

3. Majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.

4. Satu pertiga (28.5%) adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan namun berkemungkinan besar daripada komuniti.

5. Penularan kes melalui kontak rapat dan dalam kawasan PKPD berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada Variant of Concern (VOC).

CCMC-WP akan memantau situasi ini serta akan memperakukan langkah tertentu, terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak sesuai di teruskan.

Secara keseluruhannya keadaan di Wilayah Persekutuan adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi di Wilayah Persekutuan.

Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus memperhebatkan program vaksinasi secara besar-besaran agar Wilayah Persekutuan dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin. Ia juga ke arah melaksanakan strategi baru pasca 80% vaksinasi di WP dengan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi boleh dibuka. Konsultasi dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, komuniti perniagaan, perwakilan penduduk dan pemegang taruh yang lain sedang giat dilaksanakan bagi tujuan ini.

Semoga melalui langkah-langkah ini Wilayah Persekutuan dapat melalui fasa-fasa pemulihan seterusnya secepat yang mungkin.

“Perangi Covid-19: Tingkatkan Usaha, Menang Bersama”

TAN SRI TPr. HJ ANNUAR MUSA
Menteri Wilayah Persekutuan merangkap
Pengerusi Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP)
13 Julai 2021

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas