Selebriti

Konsert Sulung KHAI BAHAR Diteruskan, Lokasi Berbeza

OGY akan mengumumkan lokasi baharu untuk konsert Khai Bahar ini sesuai dengan kos yang dibelanjakan.
- Diterbit 10 Ogos 2020 6:41 AM MYT

KHABAR gembira buat semua peminat, Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia akan diteruskan! 

Ini diakui sendiri oleh penerbit konsert, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy. 

Buat masa sekarang pihaknya sedang berbincang mengenai beberapa perkara termasuk mendapatkan lokasi persembahan yang baharu.

Mengenai status lokasi di Istana Budaya (IB), Ogy berkata kapasiti yang dibenarkan tidak berbaloi dengan kos dibelanjakan untuk penganjuran konsert itu.

“Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak dibuat di IB, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak,” katanya. 

Mengikut jadual asal, konsert sulung Khai itu dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya, namun ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 yang melanda negara. 

Keputusan penangguhan itu dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan hingga susulan penularan COVID-19.

KHAI Bahar sudah bersiap sedia untuk muncul di konsert pertamanya tidak lama lagi.

Ogy sendiri tidak mahu menghampakan harapan para peminat Khai Bahar terutama mereka yang telah membeli tiket lebih awal. 

“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.

“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala,” katanya yang berasa tidak adil sekiranya konsert ini tidak diteruskan kerana sudah 80 peratus persiapan telah dibuat. 

“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.

OGY akan mengumumkan lokasi baharu untuk konsert Khai Bahar ini sesuai dengan kos yang dibelanjakan.

“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. Insya Allah kita nak buat sebelum hujung tahun ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas