Fokus

Konsep ‘Kampung Boy’ curi perhatian juri

- Diterbit 5 Disember 2020 4:40 AM MYT

BERBEKALKAN beberapa batang berus, tiga tin cat minyak terhasilnya lukisan mural yang menceritakan suasana serta kesibukan Pasar Borong Kuala Lumpur, karya seni tersebut dipilih sebulat suara oleh pihak juri untuk memenangi tempat pertama Pertandingan Grafiti dan Mural anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Konsep ‘Kampung Boy’ yang diilhamkan oleh kartunis terkenal tanah air, Datuk Lat dijadikan rujukan untuk menghasilkan mural memberikan tuah kepada artis mural, Muhammad Akmal Thaqib, 24 membawa pulang hadiah tempat pertama berupa wang tunai RM5,000 bagi kategori mural yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

AKMAL

Menurut Muhammad Akmal, konsep tersebut diangkat menjadi karya beliau disebabkan keunikan tersendiri selain telah meluangkan masa untuk melihat sendiri keadaan pasar borong tersebut sebelum berkarya.

“Idea asal ini diolah sendiri setelah menjalankan kajian mengenai situasi dan keadaan semasa pasar borong. Dengan menggambarkan keadaan tersebut dan melalui beberapa bacaan laporan berita mengenai kawasan itu, lalu terjemahkan di dinding pasar borong.

“Ia juga menggambarkan tentang persepsi orang ramai mengenai keadaan pasar borong dari luar dan penceritaan karya ini juga mengenai asam garam kehidupan di pasar borong,” katanya kepada Wilayahku.

Graduan Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, proses pertama yang harus dilaksanakan setelah melakukan kajian adalah membuat lakaran awal mengenai konsep yang hendak dilukis.

“Saya melakukan lakaran tentang konsep mural melalui gajet dan perlu menghantar kepada pihak urusetia untuk
tujuan saringan terlebih dahulu.

“Setelah proses semakan dan kelulusan diberikan, saya meneruskan proses ke berikutnya dengan membuat lakaran mengenai subjek yang hendak diketengahkan termasuk dengan perincian di atas dinding,” katanya yang memerlukan masa tiga hari untuk menyiapkan lukisan tersebut.

FAKRI

Sementara itu, pemenang tempat pertama kategori grafiti, Mohd Fakri Mohd Salleh, 29, yang membawa pulang wang tunai RM5,000 menyifatkan pertaruhannya membuahkan hasil apabila memenangi kategori tersebut.

“Saya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan karya seni tersebut.

“Saya dan beberapa rakan perlu berkunjung ke Pasar Borong Kuala Lumpur untuk melakukan penyelidikan kira-kira tiga hari bagi mengumpul dan mendapatkan informasi di samping melihat sendiri keadaan pasar sebelum membuat lakaran awal,” katanya.

Menurut Mohd Fakri, idea yang diketengahkan adalah berkaitan dengan aktiviti jual beli dan juga penjimatan kerana konsep pasar borong adalah membeli secara pukal dengan harga yang berpatutan.

“Menerusi idea tersebut, kami sudah nampak lakaran awal sebelum ia diperincikan dengan menggunakan tema penjual ikan yang sedang memotong ikan segar.

“Dari idea dan konsep tersebut, kami mencipta nilai untuk diketengahkan konsep tersebut,” katanya.

Jelas beliau, penggunaan warna merah mendominasi karyanya dengan mengambil warna merah daripada insang ikan yang segar disamping menggunakan warna hijau bagi menyerlahkan lagi nilai karya itu.

Beliau juga beberapa kali terpaksa menukar lakaran awal disebabkan tidak menepati konsep pasar borong.

“Antara faktor lakaran awal tidak menepati konsep pasar borong adalah berkenaan dengan subjek utama yang sebelum ini saya menggunakan daging dan ayam yang tidak dijual di situ,” katanya yang mengeluarkan modal hampir RM600 untuk membeli peralatan berupa beberapa tin spray warna.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas