Berita

Komuniti Blok D Pudina, Presint 17 bergotong-royong perangi denggi

Denggi Putrajaya
PENDUDUK Blok D PPAM Pudina, Presint 7mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran perumahan mereka baru-baru ini.
- Diterbit 13 September 2019 10:19 AM MYT

Oleh SALEKI AMAT JANURI

PUTRAJAYA – Kesedaran dalam memerangi wabak denggi yang semakin membimbangkan mendorong komuniti Pudina Presint 17 di sini bersepakat membersihkan pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman mereka.

Bagi tujuan tersebut, penghuni Blok D Pudina telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan mereka baru-baru ini bagi menangani isu denggi yang semakin meningkat.

Menurut Ketua Blok D, Fazli Ariffin, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penghuni blok mengenai bahaya denggi.

“Sehingga 13 Ogos lalu, Blok D telah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 99 kes dan satu kematian.

“Peningkatan kes yang semakin membimbangkan ini mendorong kami bertindak segera dengan mengadakan go­tong-royong,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk pangsapuri tersebut, Mohamad Wafi Mohd. Amin, 31, berkata, usaha yang dijalankan itu amat baik dan berharap dapat mengurangkan kes denggi di kawasan berkenaan.

Seorang lagi penghuni, Mohd. Amin Nordin, 50, berkata, aktiviti gotong-royong yang diadakan itu dapat merapatkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan penghuni dan ia wajar diteruskan demi kebaikan bersama.

Sehingga 13 Ogos 2019, kawasan wabak denggi terkini yang dilaporkan oleh Klinik Presint 18 adalah sebanyak 151 kes dengan Presint 17 PPAM Pudina mencatatkan rekod tertinggi iaitu 99 kes diikuti Presint 17RK1 (22 kes); Presint 11 Jalan P11F (11 kes); Presint 17, 17RK2 (10 kes); Presint 8, Percel 4C (empat kes); Presint 11 Jalan P11D/9 (tiga kes) dan Presint 9, Fasa 4 (dua kes).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas