Berita

KLIA terima kemasukan pelancong bermula hari ini

DATUK Seri Nancy Syukri menyampaikan goodies bag kepada pelancong antarabangsa dari Abu Dhabi yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 1 April 2022 12:19 PM MYT

SEKUMPULAN 283 pelancong antarabangsa dari Abu Dhabi diraikan sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pembukaan sempadan negara pada hari ini.

Pesawat EY418, Etihad Airways itu mendarat pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan dan diberi semburan air sebagai gimik ketibaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak kementerian serta agensi berkaitan telah melakukan persiapan rapi untuk menerima pelancong dari seluruh negara.

“Kita menjangkakan akan menerima banyak penerbangan antarabangsa susulan pengumuman pembukaan sempadan ini.

“Pada dua minggu pertama ini, kita menjangkakan sekitar 2 juta pelancong dan jumlah itu akan meningkat dari minggu ke minggu,” katanya kepada pemberita selepas meraikan ketibaan pengembara dari Abu Dhabi di KLIA, hari ini.

Tambahnya pembukaan sempadan ini memberi nafas lega kepada pemain industri pelancongan memandangkan sudah dua tahun ia sepi tanpa pelancong luar.

“Kita mengalukan lebih ramai pelancong antarabangsa, pendatang baru dan tetap, untuk meningkatkan lagi ekonomi negara.

“Lebih 100 aktiviti telah dirancang di mana promosi pelancongan dalam dan luar dilakukan melalui menjalin perkongsian pintar, mengoptimumkan komunikasi strategik dan penglibatan media, melaksanakan gelembung perjalanan dan melaksanakan transformasi strategik melalui rangkaian global 30 pejabat Tourism Malaysia di serata dunia serta enam wakil pemasaran di luar negara,” ujarnya.

Nancy berkata lebih 110 penerbangan antarabangsa dijadual mendarat di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas