Berita

KKMM akan keluarkan unjuran tenaga profesional baharu industri kreatif – Saifuddin

SAIFUDDIN ABDULLAH SAIFUDDIN ABDULLAH
- Diterbit 11 Februari 2021 8:45 AM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengeluarkan unjuran bagi jumlah tenaga profesional baharu yang diperlukan dalam industri kreatif tempatan untuk masa depan pada akhir tahun ini, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

“Selain golongan profesional yang ada pada hari ini seperti doktor, peguam, jurutera dan arkitek, negara juga perlu bersedia untuk menyediakan kumpulan profesional baharu dalam bidang-bidang lain termasuk daripada dunia digital yang berkaitan dengan industri kreatif,” katanya.

Katanya perkara itu selaras dengan penglibatan KKMM dalam Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut berperanan melihat unjuran masa depan bagi tenaga profesional negara.

“Jadi tugas kita ialah untuk membuat unjuran itu… sebagai contoh berapa ramai juruanimasi (animator) dan pemain ‘game’ (gamers) diperlukan dalam masa lima ke 10 tahun akan datang,” katanya pada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Penerima Dana Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) Fasa 2 secara maya, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin pihaknya turut meminta kerjasama Jabatan Perangkaan menerusi Banci 2020 yang sedang dilaksanakan jabatan itu bagi mendapatkan data yang terperinci.

“Sebelum ini kebanyakan orang bila ditanya, mereka akan mengaku diri mereka sebagai penggiat seni, tapi itu terlalu umum jadi kita minta semasa Banci 2020 profesion itu dengan lebih terperinci sama ada mereka adalah penyanyi, pelakon atau penerbit dan untuk itu kita juga akan tahu mereka itu animatorsgamers atau pelukis komik. Maka dari situ kita akan mula membuat unjuran,” katanya.

Menurut Saifuddin, data itu juga sangat penting dari segi perancangan bagi pembangunan sistem pendidikan negara.

“Kalau kita perlukan sejumlah orang tertentu dalam kemahiran A,B dan C maka di peringkat sekolah dan universiti kita perlu melihat semula apakah kursus yang perlu ditawarkan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin menyampaikan surat tawaran kepada penerima dana PELAKSANA Fasa 2 secara maya kepada 65 buah syarikat produksi dengan keseluruhan dana berjumlah RM20.985 juta.

Daripada 65 buah syarikat itu, ada empat kategori iaitu drama bersiri sebanyak 15 syarikat, telemovie 14 syarikat, rancangan hiburan 21 syarikat dan rancangan majalah pula 15 syarikat, katanya.

“Saya berharap melalui dana ini akan lebih banyak produksi dapat dilaksanakan dan dana ini dapat menjadi suntikan kepada penggiat industri seni kreatif supaya mereka boleh terus berkarya pada ketika zaman kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas