Berita

KKM sahkan kes coronavirus ke-15 di JB

DZULKEFLY (tengah) ketika sesi sidang media berkenaan Situasi Terkini Jangkitan 2019-nCoV di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia dekat Putajaya di sini hari ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 9:07 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) yang ke-15 di kesan di Johor Bahru, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit adalah seorang pelancong wanita warga China berumur 59 tahun yang berasal dari Wuhan.

“Wanita berkenaan bersama suami, anak lelaki dan menantunya tiba di Singapura pada 17 Januari lalu, sebelum ke Johor Bahru pada 21 Januari.

“Beliau dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou tetapi  mengguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya pulang ke China pada tarikh tersebut,” katanya pada seidang media mengenai situasi terkini jangkitan 2019-nCoV di sini hari ini.

Ujar Dzulkefly, pada Rabu lalu, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru menerima pemakluman dari pihak pengurusan tempat penginapannya yang memaklumkan dia masih tidak sihat walaupun ubatan yang diambi habis.

“Semalam, ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya dilaporkan positif dan kini dia dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai Johor Bahru. Sekarang dia berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengingatkan agar orang ramai menghadkan lawatan ke hospital terutamanya bagi urusan yang tidak penting.

“Jika masih perlu hadir ke hospital, orang ramai terutamanya kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kesihatan diri.

“Elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu. Basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun sekurang kurangnya untuk tempoh selama 20 saat atau gunakan pembersih tangan,” tegasnya.

Selain itu, Dzulkefly meminta orang ramai menjauhi mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk atau selesema.

“Mereka hendaklah mengamalkan cough etiquette (etika batuk) iaitu dengan menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta,

“Jika mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan, sila pakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yang selamat (iaitu sekurangkurangnya satu meter atau jarak selamat dua meter ) daripada orang lain di persekitaran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas