Berita

KKM laksana langkah responsif tingkat kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang, PKRC MAEPS 2.0

PETUGAS kesihatan bertungkus lumus memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 tahap 4 yang berada dalam keadaan kritikal di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Kredit foto: Berita Harian
- Diterbit 8 Julai 2021 8:36 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata antara langkah segera yang dilaksana ialah menambah segera katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital KKM dan hospital pengajar universiti bagi membolehkan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC MAEPS 2.0 sebagai usaha merawat serta menyelamatkan nyawa pesakit.

Beliau merujuk penambahan 20 unit katil ICU di Hospital Ampang serta lapan unit katil ICU dan 45 unit katil wad di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai 7 Julai.

Katanya PKRC MAEPS secara purata menerima 800 pesakit COVID-19 sehari dengan 200 pesakit dalam kategori 4.

Dr Adham berkata daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di PKRC MAEPS, sebanyak 154 unit dikhususkan buat pesakit COVID-19 kategori 4 dan ia telah pun melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan manakala baki katil untuk pesakit kategori 1, 2 dan 3 juga hampir digunakan sepenuhnya.

Beliau berkata sebanyak 1,550 silinder oksigen turut ditambah bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di PKRC MAEPS.

“Bagi memastikan pembekalan oksigen ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 tidak terganggu, KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan pemekat oksigen sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih satu pembekal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Adham, KKM juga melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan pada 7 Julai bagi 30 unit pemekat oksigen baharu di PKRC MAEPS agar peralatan itu dapat digunakan segera untuk merawat pesakit.

Beliau berkata Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh, Selangor yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil akan kembali beroperasi.

“Pengoperasian ILKKM ini membolehkan KKM menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 agar PKRC MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4,” katanya.

Dr Adham berkata KKM juga melaksanakan penugasan semula lebih 110 petugas kesihatan ke PKRC MAEPS berkuat kuasa hari ini untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong operasi pusat itu.

Ia melibatkan 75 pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Klang.

“Lebih ramai petugas dari kawasan lain yang lebih terkawal keadaannya sedang giat diusahakan untuk ditempatkan di Lembah Klang,” katanya.

Beliau juga berkata KKM telah melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor dengan 60 katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaannya dalam menerima pesakit COVID-19.

Katanya hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan turut ditubuhkan di HTAR menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas