Berita

KKM beli secara pukal pastikan stok PPE mencukupi

PETUGAS perubatan lengkap dengan PPE. Gambar UKK KKM
- Diterbit 14 April 2020 12:33 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan sedang mendapatkan peralatan perlindungan diri (PPE) secara pukal di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan stok mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi bagi memastikan stok PPE diberi perhatian khusus.

“Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, kita telah menggunakan sistem pelaporan dan pangkalan data atas talian yang mudah dan dikendalikan pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Laporan ini dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat. Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, PPE perlu dipakai mengikut keperluan seperti dinyatakan dalam Garis Panduan Pengurusan Covid-19.

“Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai ke semua jenis PPE pada masa mereka bertugas dan ini penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, antara jenis PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan antaranya Footwear/boot cover yang mempunyai baki stok 78 hari; sarung perlindungan kepala (52 hari), penutup hidung dan mulut tiga lapisan (47 hari), alat penutup hidung dan mulut N-95 mask (37 hari). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas